Maqis sita 33.9 tan kayu ada serangga perosak - Utusan Malaysia

Maqis sita 33.9 tan kayu ada serangga perosak

PEGAWAI Maqis Pulau Pinang menunjukkan serangga perosak jenis Long-horned beetle (Chloridolum dorycum) yang ditemukan pada dagangan kayu yang diimport dari Papua New Guinea ketika pemeriksaan di NBCT, Butterworth, Pulau Pinang semalam. - Pic: IHSAN MAQIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Pulau Pinang menyita 33.9 tan metrik kayu jenis ‘Pencil Cedar Baulks’ (palaquium warburgianum pencil) dari Papua New Guinea di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) di sini, semalam.

Pengarah Maqis negeri, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, bahan dagangan yang dianggarkan bernilai RM186,000 itu ditahan berikutan penemuan serangga perosak pada dagangan kayu berkenaan di dalam sebuah kontena.

“Prosedur pintasan dan persampelan telah dijalankan terhadap konsainan itu dan sampel terbabit dihantar ke Makmal Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian untuk pemeriksaan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan Analisa Penyaringan Perosak mendapati spesis ditemui adalah jenis Long-horned beetle (Chloridolum dorycum) yang merupakan spesis serangga perosak berisiko tinggi terhadap komoditi pertanian negara.

SERANGGA perosak jenis Long-horned beetle (Chloridolum dorycum) yang ditemukan pada dagangan kayu yang diimport dari Papua New Guinea. – Pic: IHSAN MAQIS

Tegas beliau, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma yang mempunyai perosak adalah suatu kesalahan di bawah seksyen 14 Akta Perkhidmatan Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Ikram berkata, Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi menyekat kehadiran perosak yang boleh merebak dan menyebabkan penularan yang merbahaya terhadap industri pertanian negara.

Ujar beliau, ia bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat di negara ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya