SEPANG: Seorang mangsa yang diselamatkan dari sindiket jenayah pemerdagangan manusia di Myanmar mendakwa dia diculik ketika berada di Bangkok, Thailand.
Liew (bukan nama sebenar) yang berusia sekitar 30-an berkata, mangsa juga agak sukar melarikan diri kerana sekitar kawasan Tachileik dikawal ketat dengan ada tembok besar.
“Saya cuba beberapa kali cari peluang bagi melarikan diri namun amat susah dan mudah ditangkap pengawal,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam bersama dua lagi mangsa dibawa pulang Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Mengulas lanjut, Liew berkata, Tachileik terletak di sempadan dengan Thailand dalam zon dikenali Segi Tiga Emas yang terkenal dengan ladang haram candu dikuasai geng dadah.
Jarak bandar kecil ini dari Bangkok ujarnya, dalam anggaran 860 kilometer atau 12 jam pemanduan secara berkereta dan lokasi ini juga tidak jauh dari sempadan dengan Laos.
“Sesiapa yang mahu keluar selalu diugut keluarga kena bayar wang tebusan RM100,000 namun, semua itu hanya helah kerana mereka juga tidak dilepaskan oleh samseng ini,” katanya.
Dia yang terkandas di sana kira-kira enam bulan menambah asalnya berada di ibu kota Thailand itu untuk urusan perniagaan sebelum diculik kumpulan penjenayah tempatan.
Turut menjadi mangsa ialah beberapa rakyat China namun kemudian mereka berpecah menuju destinasi berbeza sejurus tiba di Tachileik dengan menaiki sebuah kenderaan.
Ramai mangsa di Tachileik kata Liew, diseksa teruk termasuklah tubuh mereka diterajang seperti sampah dan ada dibelasah dengan paip getah sekiranya cuba melarikan diri. – UTUSAN