Mangsa banjir di Terengganu berkurangan, 7,108 di PPS

Mangsa banjir di Terengganu berkurangan, 7,108 di PPS

BEBERAPA penduduk meredah banjir di bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Jumlah mangsa banjir di Terengganu berkurangan kepada 7,108 orang daripada 2,001 keluarga setakat pukul 4 petang ini berbanding 10,145 mangsa daripada 2,794 pagi tadi.

Cuaca yang agak baik membolehkan lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup secara berperingkat dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, ketika ini masih terdapat 75 PPS beroperasi di lapan daerah di Terengganu.

Menurutnya, daerah yang paling teruk terjejas iaitu Hulu Terengganu menunjukkan penurunan jumlah mangsa kepada 2,380 orang (739 keluarga) di 18 PPS berbanding 3,208 orang (946 keluarga) di 28 PPS pagi tadi.

“Penurunan ketara juga berlaku di Setiu apabila hanya 176 mangsa (45 keluarga) masih berada di tujuh PPS petang ini berbanding 1,781 orang (511 keluarga) di 25 PPS pagi tadi.

“Di Kemaman, mangsa juga terus berkurangan kepada 947 orang (259 keluarga) di lapan PPS berbanding 1,183 orang (325 keluarga) di sembilan PPS sebelum ini.

“Banjir di daerah Besut juga agak baik apabila semakin ramai mangsa pulang ke rumah setelah banjir pulih. Ketika ini hanya terdapat 72 mangsa (20 keluarga di dua PPS berbanding
881 orang (179 keluarga) di 13 PPS sebelum ini,” katanya di sini, hari ini.

Banjir di daerah Marang juga masih terkawal sedikit penurunan mangsa iaitu 121 orang (31 keluarga) di satu PPS berbanding 133 orang (34 keluarga) di dua PPS sebelum ini.

Namun, jumlah mangsa di Dungun terus bertambah kepada 2,905 orang (779 keluarga) di 33 PPS berbanding 2,796 orang (758 keluarga) di 32 PPS pada sebelah pagi.

Situasi itu juga berlaku di Kuala Nerus apabila jumlah mangsa bertambah sedikit kepada 340 orang (88 keluarga) di tiga PPS berbanding 13 orang (tiga keluarga) di dua PPS sebelum ini.

Selain itu, mangsa banjir di Kuala Terengganu meningkat kepada 167 orang (40 keluarga) berbanding 150 orang (37 keluarga) sebelum ini dan jumlah PPS kekal di tiga lokasi.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan paras air di Terengganu semakin baik dengan hanya dua sungai masih melepasi paras bahaya iaitu di Dungun dan Kemaman manakala sebatang sungai di Setiu melepasi paras amaran ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN