Malaysia tak boleh ketinggalan dalam peralihan IR, AI - Utusan Malaysia

Malaysia tak boleh ketinggalan dalam peralihan IR, AI

IR AI
ZAMBRY Abd. Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam perkembangan teknologi terkini melibatkan Revolusi Industri (IR) dan Kecerdasan Buatan (AI) yang kini sedang melalui fasa perubahan.

Perubahan tersebut meliputi anjakan IR5.0 daripada IR4.0 serta Kecerdasan Generatif (GI) yang merupakan inovasi daripada AI.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, negara ini perlu segera menggarap kedua-dua perkembangan teknologi itu untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan bukan sahaja dalam keilmuannya tetapi teknologi yang dikaitkan dengan bidang pekerjaan.

“Paling mustahak ialah kedua-duanya (AI dan tenaga manusia) sangat penting apatah lagi dalam konteks hari ini dan penekanan yang diberikan oleh Perdana Menteri yang kerap kali menyebut masa depan negara kita sama ada dalam sektor ekonomi dan sebagainya adalah berkaitan dengan teknologi terkini.

“Jadi teknologi terkini adalah AI itu sendiri, justeru penekanan akan diberikan juga dalam fakulti-fakulti tertentu di universiti kita dalam bidang AI.

“Jadi, ekonomi hari ini pun berteraskan pada aspek ini. Maka, universiti perlu menggarap ruang ini dengan sesegera mungkin bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam aspek untuk mengembangkan ruang ekonomi dan pembangunan negara kita,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas topik pembinaan tenaga manusia berbanding pembangunan AI yang dibahaskan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam peringkat akhir Bahasa Melayu Utama Pertandingan Debat Diraja Antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2023 Edisi Ke-24.

Pada pertandingan peringkat tersebut, UKM muncul johan bagi kategori tersebut dan UIAM pula naib juara.

Dalam pada itu, Zambry turut memaklumkan beliau mempengerusikan mesyuarat bersama universiti-universiti bagi membincangkan peranan yang perlu dimainkan oleh IPT dalam memastikan negara bersama di hadapan untuk menghadapi perkembangan teknologi.

“Petang ini pun saya akan mengadakan mesyuarat khas dengan universiti berkaitan dengan AI dan kalau kita hendak berada bersama di hadapan dalam menghadapi IR yang baharu sebagai contoh salah satu perkara yang besar adalah IR4.0 adalah hari ini sudah bergerak ke hadapan dalam IR5.0. AI bukan lagi AI semata-mata tetapi GI.

“Semua itu perlu kita garap dengan kadar yang segera agar Malaysia tidak ketinggalan bukan sahaja dalam ilmu tetapi juga dalam bidang teknologi yang ada kaitannya dengan bidang pekerjaan di dalam negara kita,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya