MAINS giat kempen bayar zakat menjelang akhir tahun

MAINS giat kempen bayar zakat menjelang akhir tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penghujung tahun menjadi masa lebih sibuk berbanding bulan yang lain di Jabatan Zakat, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang perlu menguruskan kutipan zakat daripada umat Islam di negeri ini.

Ini kerana, lebih ramai umat Islam mahu menunaikan tanggung jawab mereka terhadap perkara keempat dalam rukun Islam iaitu menunaikan zakat.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kutipan, Jabatan Zakat MAINS, Zamri Ahmad Suhaimi berkata, pihaknya sentiasa peka dengan keinginan umat Islam menunaikan tanggungjawab yang difardukan kepada mereka.

Zamri Ahmad Suhaimi

Katanya, jabatan itu sentiasa mencari jalan yang terbaik dan kaedah yang cepat bagi membolehkan umat Islam menunaikan zakat.

“Antara langkah proaktif ialah mulai bulan Disember ini, kesemua 12 kaunter bayaran zakat MAINS di seluruh negeri ini dibuka setiap hari termasuk cuti umum.

“Kaunter dibuka mulai pukul 8.30 pagi hingga 4.45 petang pada Isnin hingga Jumaat dan pukul 9 pagi hingga 4 petang pada Sabtu, Ahad dan cuti umum,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, sudah menjadi trend setiap tahun, urusan pembayaran zakat menjadi lebih sibuk pada bulan Disember.

Kesibukan itu, jelasnya, mempunyai kaitan dengan syarat cukup haul atau tempoh setahun sebelum boleh berzakat.

“Jadi Jabatan Zakat MAINS mesti bertindak aktif bagi memudahkan umat Islam menunaikan tanggung jawab membayar zakat masing-masing,” ujarnya.

Selain membuka kaunter fizikal, Zamri memberitahu, pihaknya turut menyediakan kemudahan bayaran secara dalam talian di www.zakatns2u.biz yang boleh dimanfaatkan sepanjang masa.

Beliau menarik perhatian, galakan supaya umat Islam menunaikan zakat sebelum tahun ini berakhir akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak iaitu pembayar zakat dan MAINS.

“Bagi individu, ia akan melayakkan mereka menerima potongan cukai pendapatan untuk tahun ini.

“MAINS pula dapat memanfaatkan duit zakat ini termasuk untuk menyediakan keperluan persekolahan kepada anak-anak asnaf bagi sesi persekolahan tahun depan,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi kutipan zakat, Zamri berkata, MAINS menyasarkan kutipan sebanyak RM163 juta berbanding RM152 juta yang dikutip pada 2022.

Katanya, sehingga September lalu, jumlah kutipan zakat keseluruhannya adalah sebanyak RM91.6 juta dengan zakat pendapatan sebanyak RM52 juta, wang simpanan (RM17 juta) dan perniagaan (RM14 juta).

Tambahnya, terdapat lapan kategori kutipan zakat iaitu padi, wang simpanan, emas, harta, saham, ternakan, perniagaan, pendapatan, kwsp dan qadha zakat.

“Setiap kategori mencatatkan pertambahan daripada tahun ke tahun berikutan jumlah pembayar yang semakin ramai.

“Kesedaran dalam kalangan umat Islam terhadap kewajipan menunaikan zakat juga meningkat hasil kempen yang dijalankan daripada semasa ke semasa,” katanya.

Antara kempen itu, jelasnya, ialah taklimat kepada kakitangan awam dan swasta, kuliah di masjid dan surau, program Mega Dakwah, edaran risalah di tempat tumpuan ramai dan dari rumah ke rumah dan siaran di media elektronik.

Katanya, pihaknya turut memanfaatkan perkembangan teknologi dengan kempen melalui media sosial Facebook, Tik Tok, Podcast serta sistem pesanan ringkas (SMS).

Zamri berkata, Jabatan Zakat MAINS akan terus berusaha meningkatkan kemampuan membuat kutipan zakat dengan cekap dan berkesan serta menyantuni para pembayar zakat dengan harapan umat Islam terutamanya di negeri ini meraih manfaat terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN