RAMAI yang biasa mendengar pemain golf profesional mengadu tentang tingkah laku penonton yang tidak terkawal, tetapi kisah di sebuah padang golf di Afrika Selatan lebih ‘menggerunkan’.
Ini kerana ada di antara ‘penonton’ yang sempat membaham zirafah di tengah-tengah padang ketika permainan berlangsung.
Penonton berkenaan adalah singa, harimau bintang dan dubuk yang sering mengunjungi Kelab Golf Skukuza tidak berpagar di Taman Negara Kruger.
Kawasan berkenaan malah mendapat jolokan ‘lapangan golf paling liar di dunia’.
Pemain di Skukuza juga boleh melihat semua jenis herbivor besar yang mengagumkan semasa pusingan permainan bermula.
Puluhan singa boleh dilihat ‘berjemur santai’ mengelilingi kotak tee di bawah sinar matahari petang ketika dubuk berlegar-legar berhampiran untuk merampas sisa buruan mereka.
Harimau bintang pula berkeliaran di dalam belukar tebal di sebalik pokok-pokok hijau manakala buaya Nil memerhati pemain golf dari tebing tasik Panic berhampiran.
Sebelum ini, lapangan golf itu turut menerima saingan untuk gelaran serupa.
Lapangan di Tenggara Australia dipenuhi dengan kanggaru dan buaya berenang bebas di takungan air merentasi Florida, manakala di wilayah Limpopo paling utara di Afrika Selatan, kuda belang, seladang dan antelop merumput merentasi Legend Golf dan Kelab Golf Safari Resort.
Namun situasi itu belum cukup untuk menandingi keaslian suasana hutan dan keunikan persekitaran di Kelab Golf Skukuza.
“Slogan kelab golf paling liar di dunia tidak diberikan tanpa sebab.
“Kami berada di taman negara, jadi kami mahu memastikan ia seasli mungkin untuk haiwan berkeliaran bebas di persekitaran mereka.
“Itulah pengalaman yang ingin diberikan kepada orang ramai. Kami mempunyai segala-galanya di padang golf ini,” kata penjaga Kelab Golf Skukuza, Jean Rossouw kepada CNN Travel.
Walaupun kakitangan sentiasa memantau padang sepanjang hari dan mengekalkan hubungan dengan renjer taman, semua pemain golf mesti menandatangani borang keselamatan aktiviti sebelum bermain atau memasuki taman melalui mana-mana sembilan pintu utamanya.
Menurut Rossouw, tiada insiden besar berlaku setakat ini dan yakin rekod itu akan bertahan selagi pemain golf mengekalkan kesedaran tentang persekitaran unik kawasan itu.
“Orang ramai jelas menghormati haiwan-haiwan di sini. Mungkin ramai berfikir jika ada singa di laluan itu haiwan berkenaan akan datang menerkam mereka.
“Tetapi sebaliknya berlaku. Haiwan ini mampu melihat dan menghidu anda lebih awal dan memilih untuk beredar terlebih dahulu sebelum anda sempat melihat mereka,” jelas Rossouw.
Main golf sambil ‘diperhatikan’ haiwan liar di Taman Negara Kruger
- Oleh Susunan Nawwar Abdul Rahim
- 31 Disember 2023, 5:30 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Russia guna peluru berpandu baharu di medan perang
24 November 2024, 11:00 am
Empat sekeluarga terselamat dalam kebakaran rumah kedai
24 November 2024, 10:59 am
Gaji RM1,500 tapi hantaran lebih RM15,000
24 November 2024, 10:03 am