KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) optimis dapat mencapai kutipan zakat sebanyak RM260 juta seperti sasaran yang ditetapkan pada tahun ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, setakat ini, pihaknya telah berjaya mengutip sebanyak RM200 juta zakat di seluruh Terengganu.
Menurutnya, MAIDAM akan menggandakan usaha untuk memastikan sasaran RM260 juta itu tercapai untuk memastikan lebih banyak asnaf di Terengganu mendapat manfaatnya.
“Kebiasaannya, ramai pembayar zakat akan menunaikan tanggungjawab itu pada saat-saat akhir di hujung tahun, apatah lagi mahu mendapat pelepasan dari cukai pendapatan yang perlu dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Insya-Allah, kita akan berjaya capai sasaran RM260 juta ini kerana semakin ramai yang tampil membayar zakat kepada MAIDAM dalam tempoh berbaki lagi 14 hari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvoi Agihan Hak Asnaf MAIDAM 2023 di pekarangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, di sini,hari ini.
Seramai 24,500 Ketua Isi Rumah (KIR) terdiri daripada asnaf dan fakir miskin di Terengganu menerima agihan zakat berjumlah RM17.15 juta pada tahun ini menerusi KAHA 2023.
Program konvoi bermotosikal itu mula diadakan pada tahun lalu untuk mengagihkan zakat kepada golongan fakir dan miskin di seluruh Terengganu dengan menyantuni mereka di rumah.
Shaikh Harun berkata, program itu juga dapat menangkis persepsi negatif masyarakat kononnya MAIDAM hanya pantas ketika mengutip zakat namun lambat mengagihkannya.
“Persepsi itu tidak betul kerana MAIDAM sentiasa mengagihkan bantuan kepada semua golongan yang memerlukan dalam kadar masa yang pantas setelah permohonan itu diteliti.
“Alhamdulillah MAIDAM semakin mendapat kepercayaan daripada pembayar zakat di seluruh Terengganu hasil pelaksanaan pelbagai program yang telah kita jalankan selama ini.
“Oleh itu, besarlah harapan MAIDAM supaya agihan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan asnaf dan menimbulkan rasa ingin memajukan ekonomi keluarga mereka,” katanya. – UTUSAN