PETALING JAYA: “Bukan tak ada yang cuba berkenalan tetapi ramai suami orang.”
Itu pendedahan pengacara, Nadia Annuar yang sebelum ini mengumumkan perceraiannya dengan suami, Hafiz Salleh awal tahun ini.
Kongsi Nadia, dia berdoa agar dijauhkan daripada mendekati suami orang kerana tidak mahu menyakiti hati wanita lain semata-mata disebabkan seorang lelaki.
“Buat masa ini, saya trauma untuk berkahwin lagi. Ada juga yang mendekati, tetapi itulah bukan sekarang. Tetapi suami orang tidak sama sekali.
“Tak guna pun saya menyakiti hati wanita lain kerna seorang lelaki. Biarlah saya mencari yang bujang. Muda pun tak apa, asalkan bukan suami orang,” katanya.
Bekas pengacara program Malaysia Hari Ini (MHI) itu mengumumkan perceraiannya dengan usahawan tersebut lapan bulan selepas berpisah.
Ditanya tentang ciri-ciri lelaki idamannya, Nadia berkata, dia mahukan seorang lelaki yang manja dan memberi perhatian kepadanya terutama dia merupakan wanita berkerjaya serta berdikari.
Tidak menolak lelaki muda, wanita berusia 39 tahun itu bagaimanapun mengharapkan lelaki tersebut sekufu dari segi pemikiran dan boleh menjadi teman berbual tentang pelbagai topik.
“Muda? Tak ada masalah. Kalau setakat beza lima tahun muda, saya rasa okay sahaja. Tetapi biarlah matang dan sekufu dari segi pemikiran.
“Tak nak bila berborak, saya seorang sahaja mengemudi perbualan. Dia diam tak tahu apa-apa, bosanlah macam itu,” kongsinya.-UTUSAN