Mahkamah tolak permohonan Allan Goh batal saman pelabur

MyAirlines: Mahkamah tolak permohonan Allan Goh batal saman pelabur

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan pengasas bersama MyAirlines, Datuk Allan Goh Hwan Hua dan empat lagi syarikatnya untuk membatalkan saman 15 orang pelabur berhubung Nilai Penebusan Bulanan dan Pulangan Pembiayaan Bulanan yang tertunggak melebihi RM8 juta.

Hakim Adlin Abdul Majid sewaktu membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan, kes saman tersebut bukanlah satu kes yang mudah dan jelas sehingga membolehkan mahkamah membatalkan tindakan undang-undang itu.

“Persoalan sama ada defendan-defendan telah melakukan penipuan dengan tidak membayar jumlah yang dinyatakan hanya boleh ditentukan melalui perbicaraan penuh. Selain itu, tuntutan yang dinyatakan oleh plaintif juga telah menunjukkan terdapat kausa tindakan (wajar),” katanya.

Mahkamah kemudian mengarahkan Hwan Hua dan empat lgi syarikatnya membayar kos sebanyak RM8,000 dan turut menetapkan sembilan hari perbicaraan kes itu bermula 14 Oktober 2024.

Pada 21 Julai 2022, 15 individu selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan Hwan Hua, syarikat pembangunan laman sesawang dan aplikasi, I-Serve Online Mall Sdn. Bhd. (ISOM) dan Bright Moon Venture PLT (BMV bertanggungjawab untuk mengumpul pelaburan bagi ISOM dan Hwan Hua) sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Turut dinamakan sebagai defendan keempat dan kelima ialah QA Smart Partnership PLT (QAS bertanggungjawab untuk mengumpul pelaburan bagi ISOM dan Hwan Hua) dan Trillion Cove Holdings Berhad (TCH merupakan syarikat pinjaman wang dan penyampaian kewangan).

THC juga merupakan pemberi sokongan kewangan kepada MYAirlines dan mempunyai pegangan saham sebanyak 10 peratus dalam syarikat penerbangan itu.

Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, kesemua pelabur itu menyatakan mereka telah menandatangani Perjanjian Langganan (SA) dan Perjanjian Pembiayaan Rakan Kongsi (PFA) dengan kesemua syarikat terbabit sekitar 2020 dan 2021.

Kesemua pelabur menyatakan terdapat perjanjian bahawa Nilai Penebusan Bulanan dan jumlah Pulangan Pembiayaan akan dibayar kepada pelabur secara bulanan.

Bagaimanapun, bermula November 2021 hingga Jun 2022, syarikat-syarikat terbabit gagal membuat pembayaran jumlah Nilai Penebusan Bulanan dan Pulangan Pembiayaan Bulanan.

Kesemua pelabur itu selaku plaintif menyatakan pada sepanjang masa material, TCH, BMV dan QAS merupakan ejen kepada ISOM dan Hwan Hua.

Kesemua syarikat itu juga secara kolektif berfungsi sebagai satu unit ekonomi tunggal yang mana kesemua dana yang dikumpulkan oleh TCH, BMV, QAS dan instrumen mengumpul dana yang lain semuanya dilaburkan dalam ISOM.

Selain itu Hwan Hua yang merupakan pemegang saham dalam ISOM serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah TCH adalah satu-satunya minda yang mengawal syariiat-syarikat itu.

Pada 1 September lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan medianya memaklumkan ISOM dikenakan kompaun sebanyak RM50 juta kerana menerima deposit tanpa lesen.

Bank pusat itu berkata, ia mengenakan kompaun untuk tujuh entiti di bawah Kumpulan i-Serve mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) dan untuk pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1) AMLA.

Tujuh entiti itu ialah i-Serve Online Mall Sdn. Bhd. (RM12.5 juta), i-Serve Technology and Vacations Sdn. Bhd. (RM12.5 juta), QA Smart Partnership PLT, QA Elite Partnership PLT, QA Premium Partnership PLT dan MM2217 PLT dan Valuewise PLT (RM5 juta setiap satu). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN