PETALING JAYA: Cadangan bukan Islam supaya menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam dilihat tidak berpijak di bumi yang nyata dan boleh mencetuskan polemik dalam suasana harmoni pelbagai agama serta kaum selama ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, mahkamah syariah dikhususkan kepada rakyat beragama Islam sejak merdeka dan tidak pernah sesekali mengambil atau mencabuli hak warga bukan Islam.
Katanya, proses menambah baik dan menaik taraf mahkamah syariah yang dilakukan sejak UMNO menerajui kerajaan sentiasa dibuat secara bertahap dan mengambil kira ruang lingkup kuasa yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.
“Malah sepanjang proses menaik taraf mahkamah syariah baik daripada segi pentadbiran, kompetensi, emolumen dan penggajian hakim dan pegawai mahkamah syariah, bentuk dan tahap hukuman yang diperuntukan di bawah kuasa mahkamah syariah, tidak pernah sesekali mengambil atau mencabuli hak warga bukan Islam.
“Tidak perlu pakar bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah menurut Perlembagaan Persekutuan. Cadangan
ini tidak berpijak di bumi yang nyata malah hanya bakal mencetuskan polemik yang tidak perlu dalam suasana harmoni rakyat pelbagai agama dan kaum selama ini,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Koo Ham menyarankan kerajaan agar melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.
Ahli Parlimen Beruas itu menjelaskan langkah tersebut bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.
Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-undang Islam diwujudkan untuk mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.
Dalam pada itu Asyraf Wajdi berkata, langkah pemerkasaan mahkamah syariah sejajar dengan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara dan pelindung kepada kesucian Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa sama mengiktiraf kebebasan agama lain untuk diamalkan di negara ini.
“Justeru, berikanlah kepercayaan dan keyakinan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam menentukan panel-panel yang bakal mengganggotai jawatankuasa ini kelak. Tentunya Tuanku Raja-Raja Melayu amat bijaksana dan pasti mengambil kira segala aspek termasuk bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam mengabsahkan terma-terma rujukan Jawatankuasa ini,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, sebarang dapatan jawatankuasa kelak pastinya akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu setelah diteliti segala aspek yang terkait dengan Perlembagaan.
“Malah jika ada sebarang cadangan yang melibatkan pindaan undang-undang mahupun Perlembagaan sekalipun, tentu sekali prosesnya akan turut melibatkan ahli-ahli Parlimen bukan Islam yang mempunyai kuasa membahas, menyokong, meminda mahupun menolak cadangan-cadangan yang terkait dengan penggubalan undang-undang mahupun Perlembagaan,” katanya. – UTUSAN