Mahkamah batalkan permohonan SPRM

Mahkamah batalkan permohonan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun menarik balik permohonan untuk mendapatkan dokumen, siasatan terhadap dua peguam dan firma guaman mereka yang disyaki menerima rasuah daripada Goldman Sachs bagi mengurangkan jumlah pampasan yang sepatutnya dibayar kepada Malaysia berkait skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) masih lagi diteruskan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumat memberitahu dua Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pihaknya tidak dapat mendedahkan sejauh mana siasatan itu sekarang.

SPRM memfailkan dua permohonan serupa pada 11 Oktober lalu dengan menamakan peguam, Rosli Dahlan dan firmanya, Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) serta peguam Chethan Lachman Jethwani dan firmanya, Chethan Jethwani & Co. (CJC) sebagai responden.

Antara dokumen yang diperlukan SPRM ialah surat pelantikan CJC sebagai peguam daripada Goldman Sachs, surat pelantikan RDS sebagai peguam 1MDB, dokumen kontrak di antara 1MDB dan Goldman Sachs serta kontrak di antara 1MDB dengan AMMB serta penyata akaun dan rekod pembayaran kedua-dua firma guaman.

Selepas dimaklumkan mengenai hasrat SPRM untuk tidak meneruskan permohonannya, Hakim-Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dan K. Muniandy membatalkan permohonan terbabit.

Pada prosiding sama di hadapan Hakim Muniandy, mahkamah turut membenarkan permohonan peguam, M. Puravelan yang mewakili RDS bahawa semua dokumen kausa membabitkan firma guaman itu tidak boleh diakses oleh awam. Chetan dan firma guamannya diwakili peguam Teh See Khoon.

Menurut afidavit yang diikrarkan oleh Penguasa Kanan, Mohamad Sabri Mohd. Latif, pada 6 Oktober lalu, dua pasukan penyiasat SPRM pergi ke RDS dan CJC untuk melakukan pemeriksaan serta penggeledahan bagi tujuan mendapatkan dokumen.

Pemeriksaan dan penggeledahan tersebut dibuat selepas SPRM menerima aduan bahawa semua defendan disyaki terlibat dalam aktiviti penerimaan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan urusan penyelesaian di antara Kerajaan Malaysia, Ambank dan Goldman Sach berkaitan skandal 1MDB.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM2009) dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bagaimanapun, Rosli dan Chethan dikatakan enggan memberikan dokumen-dokumen yang diminta atas alasan SPRM perlu menggunakan perintah di bawah seksyen 46 ASPRM 2009 yang mana mereka perlu memohon kepada Mahkamah Tinggi sebelum menggeledah atau mengambil apa-apa dokumen di permis terbabit.

SPRM dalam afidavitnya dokumen-dokumen yang diperlukan adalah bagi mengenal pasti pelantikan setiap responden, mengenal pasti peranan dan tindakan setiap responden yang disyaki bersama Goldman Sach dan pihak berkenaan dalam mengurangkan jumlah pampasan atau `asset recovery’ serta bagi mengenal pasti transaksi penerimaan rasuah dan aliran wang haram itu.

Pada 12 Oktober lalu, Goldman Sachs dilaporkan memfailkan saman terhadap Malaysia di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London (LCIA) kelmarin ketika ketegangan semakin memuncak berhubung isu penyelesaian berkait peranannya dalam skandal dana 1MDB.

Pada 2020, Goldman Sachs bersetuju membayar AS$3.9 bilion untuk menyelesaikan siasatan jenayah dijalankan Malaysia terhadap peranan bank pelaburan Amerika Syarikat (AS) itu dalam skandal dana 1MDB yang membabitkan berbilion dolar.

Pada 13 Oktober lalu, Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan tindakan saman oleh Goldman Sachs itu satu percubaan untuk me­­ngalihkan perhatian daripada kewajipan mematuhi ke­perluan pembayaran inte­rim sebanyak AS$250 juta di ba­wah perjanjian penyele­saian.

Katanya, Perjanjian Penyelesaian Goldman Sachs ditandatangani pada 18 Ogos 2020 dan mempunyai dua bahagian iaitu pembayaran tunai sebanyak AS$2.5 bilion yang perlu dibayar dalam tempoh 10 hari selepas menandatangani perjanjian penyelesaian dan Jaminan Pemulihan Aset sebanyak AS$1.4 bilion oleh Goldman Sachs dalam tempoh lima tahun dari tarikh perjanjian penyelesaian.

“Di bawah Jaminan Pemulihan Aset sebanyak AS$1.4 bilion oleh Goldman Sachs, sekiranya kerajaan tidak menerima semula AS$500 juta pada 18 Ogos 2022 (dua tahun dari tarikh perjanjian penyelesaian), Goldman Sachs dikehendaki membayar AS$250 juta sebagai bayaran interim kepada kerajaan Malaysia.

“Pada 18 Ogos 2022, kerajaan Malaysia tidak memperoleh semula AS$500 juta, oleh itu, kerajaan berhak menerima bayaran interim sebanyak AS$250 juta. Perkara itu bagaimanapun dipertikaikan Goldman Sachs,” kata Johari dalam laporan tersebut.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN