KUALA LUMPUR: Tiada diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) akan ditawarkan kepada pesalah lalu lintas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan, kementeriannya sudah mempunyai dasar itu sejak 2018.
“Mengapa dibuat begitu? Hal ini disebabkan kementerian sudah membatalkan lebih 4 juta saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) pada tahun 2018 yang mana ramai menyambut baik perkara itu.
“Tetapi saya sudah beritahu ia adalah one off sahaja dan bukannya dijadikan sebagai kesinambungan,” katanya ketika mengunjungi reruai Kementerian Pengangkutan pada Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.
Jelasnya, sekiranya kementerian kutip empat juta saman, ia bersamaan RM600 juta hasil kutipan.
Selain itu, beliau berkata, kementerian ingin memberi mesej kepada orang ramai bahawa saman adalah untuk mendidik dan tidak boleh ditolak ansur.
“Kita mendapat maklum balas daripada orang ramai bahawa apabila kementerian beri diskaun, ia tidak adil kepada mereka yang bayar pada masa ditetapkan dan mereka yang membayar awal.
“Agensi lain seperti PDRM mungkin ada pertimbangan lain, tetapi JPJ di bawah Kementerian Pengangkutan ada portfolio dan ada tanggungjawab dalam isu keselamatan jalan raya, kita perlu beri satu mesej yang tegas,” katanya.
Tambahnya, orang ramai digesa supaya tidak menanti diskaun saman JPJ, tetapi dinasihatkan menjelaskan saman supaya tidak ada implikasi lain.-UTUSAN