KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Datuk M. Nasir, 66, menepati ramalan apabila diumumkan sebagai Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi sempena Anugerah MACP 2023 yang berlangsung malam tadi.
M.Nasir mengenepikan dua pencabar lain iaitu komposer dan penulis lirik, Saari Amri dan Ezra Kong.
Penyanyi bertaraf legenda itu ketika ditemui wartawan tidak menolak kesan pemasaran cara baharu bersifat tanpa sempadan menghadirkan peluang pendapatan sekali gus menjadi faktor kepada kemenangannya malam ini.
“Kita kena sesuaikan sesuatu lagu dengan kehendak pasaran masa sekarang termasuk di negara jiran.
“Dalam era dunia tanpa sempadan masa kini, kita juga kena gunakan rangkaian usahasama yang ada untuk memudahkan lagu-lagu kita menembusi pasaran Indonesia,” katanya.
M. Nasir pada masa yang sama turut mengungguli tiga kategori lain termasuk Persembahan Lagu Melayu Terbanyak, Persembahan Lagu Luar Negara Terbanyak dan Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Tertinggi.
Sebanyak 12 kategori dipertandingkan sempena penganjuran MACP kali ini.
Acara gilang gemilang itu dihoskan pengacara, Radin dan diserikan dengan persembahan Liza Aziz, Marsha Milan, Riffedge dan ramai lagi.
Senarai pemenang:
Persembahan lagu Melayu terbanyak – Tiara
Persembahan lagu Cina terbanyak – A la si jia hai wan
Persembahan lagu Inggeris terbanyak – Stay Away
Persembahan lagu Tamil terbanyak – Perak Kulle
Persembahan lagu luar negara terbanyak – Cinta Sampai Mati
Lagu pendapatan luar negara tertinggi – Ke zai wo xin di de ming zi
Penerbit tempatan dengan pendapatan tertinggi – Luncai Emas Sdn. Bhd.
Penerbit dengan pendapatan tertinggi – Universal Music Publishing Sdn. Bhd.
Komposer muda berpotensi – Reedzwann
Anugerah nadi cipta – J S Kevin
Pencipta dengan pendapatan tertinggi – Datuk M. Nasir
Pencipta terbaik TikTok – Aepul Roza