Lokman Adam hantar representasi kaji prosiding hina mahkamah

Lokman Adam hantar representasi kaji prosiding hina mahkamah

LOKMAN Noor Adam berbual dengan Muhammad Shafee Abdullah selepas rayuannya ditangguhkan oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya. UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menghantar representasi untuk mengkaji prosiding menghina mahkamah yang disabitkan terhadapnya kerana mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Persekutuan hari ini, pihaknya menyerahkan representasi itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), semalam.

Sehubungan itu, beliau memohon penangguhan rayuan sementara menunggu penelitian pihak AGC dan memaklumkan perkembangan representasi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar turut memaklumkan beliau tidak membantah permohonan penangguhan selain mengesahkan pihaknya menerima representasi itu semalam.

“Kami tidak membantah penangguhan kerana perlu meneliti representasi berkenaan,” ujar beliau yang turut dibantu oleh TPR Norzilati Izhani Zainal @ Zainol.

Sehubungan itu panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan penangguhan rayuan dan menetapkan 14 Februari tahun depan untuk perkembangan representasi.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal turut menetapkan tarikh sama untuk penghujahan rayuan jika representasi itu ditolak.

Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar rayuan Lokman Noor terhadap sabitan dan hukuman penjara sebulan atas kesalahan menghina mahkamah kerana mengugut saksi utama perbicaraan kes 1MDB yang juga bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Pada 26 Oktober 2022, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabit dan menghukumnya atas kesalahan itu. Hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan berpuas hati rayuan tiada merit, manakala hukuman yang dijatuhkan, wajar dan munasabah.

Pada 15 Julai 2021, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman Noor selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut Amhari.

Pada 22 Oktober 2019, Hakim Collin memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor kerana tindakan responden yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Ketika membacakan alasan penghakimannya, Hakim Che Mohd. Ruzima berkata, fakta berhubung prosiding komital terhadapnya tidak dipertikai kerana ia berpunca daripada laporan polis yang dibuat pukul 3.24 petang, 25 September 2019 dan satu kenyataan media dibuat pada hari sama, pukul 6.33 petang.

Ujar beliau, panel itu berpuas hati bahawa laporan polis tersebut boleh diklasifikasikan sebagai laporan maklumat pertama.

Dalam laporan media pula, perayu membuat komen berkaitan kes SRC International dan 1MDB selain menyebut nama-nama pesalah ‘sebenar’ kedua-dua kes itu termasuk Amhari dengan mengungkapkan kata-kata berbentuk amaran.

Panel itu berpuas hati, perkataan-perkataan dalam laporan itu tidak perlu diungkapkan sekiranya perayu benar-benar berhasrat menjalankan kewajipan awam membantu pihak berkuasa.

“Kenyataan media mengulas laporan polis dengan mengungkapkan perkataan yang tidak sepatutnya menyebabkan laporan polis itu tidak boleh dilindungi,” ujar Hakim Che Mohd. Ruzima.

Panel itu berpuas hati, berdasarkan laporan polis, transkrip kenyataan media dan eksibit yang dikemukakan adalah memadai bagi Mahkamah Tinggi mengeluarkan notis kepada perayu untuk menjawab pertuduhan menghina mahkamah.

“Berkaitan ujian yang digunakan dalam kes-kes menghina mahkamah, apa yang dilihat adalah perbuatan, bukan niat dan jika perbuatan terjumlah kepada mengganggu perjalanan pentadbiran keadilan, itu sudah memadai tanpa mengira keadaan pemikiran individu,” ujar beliau.

Berbalik kepada hukuman, panel itu berpendapat mereka tidak boleh sewenang-sewenangnya mengusik hukuman tersebut kecuali dibuktikan bahawa ia melampau atau gagal mematuhi prinsip penghukuman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN