SUNGAI PETANI: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengakui berlaku kenaikan harga ikan di pasaran tetapi tidak membimbangkan berikutan mempunyai stok bekalan mencukupi.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kenaikan antara 10 hingga 15 peratus itu dipercayai berpunca daripada tindakan orang tengah yang semata-mata memikirkan keuntungan segera.
“Kita sedang berusaha memendekkan aliran rantaian penyaluran ikan kepada pengguna untuk menstabilkan harga bahan protein itu di pasaran.
“Masalah bekalan bukan punca utama kerana selain mempunyai stok penimbal kita sentiasa mendapat bekalan mencukupi dari rakan dagang selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Rahmah Mesra Madani, Sesi Libat Urus Bersama Nelayan Kuala Muda Pasar Bisik di sini hari ini.
Katanya, orang tengah perlu ada sikap bertanggungjawab dan menghargai keringat nelayan yang bertungkus lumus dan bergadai nyawa di laut.
“Kita di LKIM sedang berusaha dan mengambil langkah untuk menstabilkan harga di pasaran menerusi konsep penubuhan pasar nelayan di semua 139 kawasan Persatuan Nelayan seluruh negara.
“Konsep ini akan membolehkan nelayan memasarkan terus hasil tangkapan mereka kepada pengguna tanpa melibatkan orang tengah yang secara langsung akan menjadikan harganya rendah,” katanya.
Tambah Muhammad Faiz, selain penubuhan pasar nelayan pihaknya juga mengambil langkah mewujudkan kedai runcit milik persatuan.
“Kita tidak mahu lagi ahli persatuan terkesan dengan kenaikan pelbagai harga barangan dewasa ini hingga menyebabkan kehidupan seharian mereka turut terkesan.
“Penubuhan kedai runcit ini diharap akan menjadi pemangkin perubahan kepada kehidupan nelayan kerana dapat berbelanja dan membeli barangan dengan harga rendah,” katanya.
Pada majlis itu selain merasmikan pembukaan kedai runcit milik Persatuan Nelayan Kuala Muda, Muhammad Faiz turut menyampaikan kotak makanan kepada 50 nelayan.-UTUSAN.