KLANG: Lima lelaki serumah termasuk seorang warga emas hilang tempat tinggal akibat kediaman mereka hangus dijilat api selepas pulang daripada menunaikan solat Jumaat di masjid dalam satu kejadian di Jalan Durian, Meru di sini, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.07 petang.
Menurutnya, sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dikerah ke tempat kejadian dan turut dibantu pasukan dari BBP Sungai Pinang bersama BBP Andalas dan berjaya mengawal kebakaran pada pukul 2.45 petang.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B berkeluasan 2,400 kaki persegi terbakar 90 peratus. Bagaimanapun tiada mangsa terlibat (cedera) dalam insiden tersebut,” katanya kepada pemberita.
Jelasnya, bagaimanapun sebelum kejadian, lima lelaki termasuk warga emas berusia 63 tahun berada di rumah itu sebelum keluar ke masjid untuk solat Jumaat.
Katanya lagi, punca kebakaran masih disiasat. – UTUSAN