Lima tahun dibelenggu ancaman anjing liar

Lima tahun dibelenggu ancaman anjing liar

RABIAH Samah (kanan) terpaksa membawa kayu sebagai langkah berjaga-jaga ketika berjoging di Kolam Takungan Banjir Semabok, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Masalah anjing liar yang membelenggu kira-kira 2,000 penduduk Taman Semabok di sini sejak lima tahun lalu kian membarah, apabila mereka tidak lagi berasa selamat untuk melakukan aktiviti riadah di kawasan perumahan sendiri.

Seawal pukul 7 pagi, antara enam hingga lapan ekor anjing dilihat mula berkeliaran di kawasan Kolam Takungan Banjir Semabok yang menjadi lokasi para penduduk melakukan senaman.

Seorang penduduk, Rabiah Samah, 60, berkata, mereka yang berjoging di situ terutama warga emas sepertinya terpaksa membawa kayu sebagai langkah berjaga-jaga daripada serangan luar jangka haiwan berkenaan.

Ujarnya, kebimbangan mereka kian memuncak selepas insiden tragis melibatkan seorang wanita yang mengalami kecederaan akibat terjatuh daripada motosikal ketika diserang beberapa ekor anjing.

“Kalau seorang saya memang tak berani joging di sini sebab awal pagi kumpulan anjing liar sudah berkeliaran mencari makanan. Orang tua macam saya perlu berteman untuk beriadah.

“Bukan apa kita risau anjing-anjing ini menyerang sebab apabila mereka lapar akibat ketiadaan sumber makanan, mereka akan menyerang pula manusia.

“Saya bawa kayu sebagai langkah berjaga-jaga sahaja, kalau haiwan itu tidak mengancam saya pun tidak akan kacau atau cuba menyakitinya,” katanya ketika ditemui.

KUMPULAN anjing liar yang berkeliaran di Kolam Takungan Banjir Semabok, Melaka. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD

Khamis lalu, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 1,796 ekor anjing liar dilupuskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Melaka, tahun ini.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, sehingga Oktober lalu sebanyak 2,230 tangkapan dilaksanakan PBT dan 68 ekor anjing telah dituntut oleh pemilik berdaftar.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abd. Halem berkata, usaha menyelesaikan kemelut sedemikian menjadi sukar susulan tentangan dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan haiwan.

Ujarnya, pelbagai inisiatif tetap diambil pihak berwajib antaranya pemasangan perangkap sangkar di kawasan itu.

Jelasnya, bagaimanapun ia digagalkan pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak membuka pintu sangkar untuk melepaskan anjing-anjing liar yang terperangkap

“Konflik dihadapi adalah tentangan daripada persatuan pencinta haiwan, ia lebih kepada isu pelupusan yang terpaksa dilakukan oleh pihak berwajib sehingga kumpulan ini menyerang laman sosial saya dan PBT.

“Mereka tidak bolehlah menyalahkan PBT semata-mata kerana aduan ini datangnya daripada orang awam, malah ada sehingga mendatangkan bahaya dan kecederaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya