Lima kluster pelancongan bakal rancakkan TMP2024/2025 - Utusan Malaysia

Lima kluster pelancongan bakal rancakkan TMP2024/2025

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Mohd Shukri Ramli bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran Perdana Tahun Melawat Perlis 2024-2025 (TMP2024/2025) di Dewan 2020, Kangar, Perlis malam tadi. -UTUSAN/AHMAD ADIB AKHYAR AMINARRASHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Lokasi pelancongan di Perlis dikategorikan kepada lima kluster dan teras mengikut strategi berbeza berpandukan kepada Pelan Induk Perancangan Fizikal Pelancongan negeri.

Kluster tersebut terdiri daripada Jejak Pelancongan Eko, Jejak Pelancongan Agro, Jejak Pelancongan Budaya, Sejarah, Seni dan Warisan, Jejak Pelancongan Membeli Belah dan Makanan; dan Jejak Pelancongan Sukan dan Rekreasi.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, negeri ini sememangnya sesuai dilawati oleh segenap lapisan masyarakat baik dari dalam mahu pun luar negara kerana menawarkan suasana tenang kepada para pengunjung.

“Oleh itu, Perlis benar-benar mempunyai potensi untuk menjadi salah satu destinasi eko pelancongan di Malaysia.

“Malah negeri ini juga berada pada landasan terbaik untuk menjadi antara negeri pilihan utama pelancong,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Pelancaran Perdana Tahun Melawat Perlis 2024-2025 (TMP2024/2025) di Dewan 2020, di sini semalam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan majlis pelancaran tersebut.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, kemajuan dalam industri pelancongan mempunyai banyak potensi khususnya dalam mempercepatkan pembangunan negeri.

“Perkembangan sektor pelancongan negeri memberikan kesan limpahan ekonomi kepada banyak pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Contohnya melalui pembukaan tempat penginapan yang baharu, ia turut membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, penganjuran TMP2024/2025 menjadi pemangkin untuk menyokong industri pelancongan khususnya dalam merealisasikan sasaran bagi menerima seramai 3.5 juta pelancong ke negeri ini pada tahun hadapan.

Katanya, kerajaan negeri akan melancarkan program, acara dan tawaran menarik yang bersesuaian bersempena TMP2024/2025 bagi menarik kedatangan pelancong ke Perlis.

“Semua pihak juga harus memikirkan kaedah untuk menarik orang ramai yang pernah melawat ke Perlis untuk berkunjung semula ke negeri ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya