Lihat matahari terbenam dari atas feri Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Lihat matahari terbenam dari atas feri Pulau Pinang

V. SASEDHARAN (kiri) ketika melancarkan pakej pelancongan terbaharu Penang Bridge Sunset Cruise, di George Town, Pulau Pinang, semalam. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Sektor pelancongan Pulau Pinang bakal dirancakkan lagi menerusi pakej pelayaran Penang Bridge Sunset Cruise yang diyakini dapat menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa ke negeri ini.

Inisiatif yang diperkenalkan Penang Port Sdn. Bhd. menggunakan feri baharu Pulau Pinang itu bakal beroperasi secara rasmi pada 16 Disember depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, Datuk V. Sasedharan berkata, pakej terbabit memiliki tarikan tersendiri, malah bakal memberikan pengalaman buat pelancong untuk menikmati keindahan laut selain menyaksikan keunikan seni bina jambatan Pulau Pinang pertama.

Katanya, pelayaran yang berlangsung kira-kira tiga jam itu dijangka bermula pukul 5 petang sehingga 8 malam, setiap Sabtu dan Ahad.

“Lebih menarik, pelayaran ini terhad kepada 100 penumpang bagi setiap sesi dan penggunaan feri baharu Pulau Pinang sudah semestinya dapat menarik pelancong domestik dan antarabangsa ke sini.

“Pulau Pinang kelihatan lebih indah pada waktu malam, malah saya rasa keindahannya setanding dengan Hong Kong mahupun Vietnam.

“Kita gunakan kelebihan yang ada di negeri ini untuk memeriahkan lagi industri pelancongan sekali gus merancakkan ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas prapelancaran Penang Bridge Sunset Cruise di Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di sini, semalam.

Tambahnya, pakej individu dewasa bagi pelayaran itu berharga RM148 setiap seorang manakala kanak-kanak hanya dikenakan RM98 setiap seorang.

Ujarnya, pakej itu turut disertakan dengan hidangan bufet dan pelancong boleh menikmati juadah sambil melihat panorama matahari terbenam dari atas feri tersebut.

“Kita akan tambah baik perkhidmatan ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pelancong memperolehi pengalaman terbaik.

“Setakat ini juga, kita sudah menerima banyak tawaran daripada beberapa operator yang mahu menyewa feri untuk majlis persendirian (private event),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya