PETALING JAYA: Polis menahan seorang lagi lelaki dipercayai terlibat kes pecah rumah di Ampang Jaya dekat sini semalam.
Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di Jalan Prima Setapak dekat sini kira-kira puku 6.30 petang selepas rakan sejenayahnya ditahan pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, polis menerima laporan berkaitan sebuah rumah dipecah masuk di Taman Kosas, di sini pada 19 Disember lalu.
“Pengadu iaitu seorang wanita mendakwa baru pulang dari klinik gigi pada 10 pagi dan mendapati pagar rumah terbuka, selain jeriji pintu utama diumpil.
“Dia buat pemeriksaan di dalam rumah dan mendapati wang berjumlah RM1,000 yang disimpan dalam beg tangan hilang disyaki dicuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Azam berkata, bertindak atas laporan, pasukan polis menjalankan siasatan dan risikan sebelum berjaya menahan suspek.
Jelasnya, polis turut merampas telefon bimbit, wang tunai, mata wang asing dan pelbagai barangan kemas disyaki hasil kegiatan pecah rumah.
“Suspek juga positif dadah dan mempunyai 31 rekod jenayah lampau serta satu rekod dikehendaki polis,” katanya.- UTUSAN