Lelaki bunuh isteri guna dumbel diheret ke mahkamah - Utusan Malaysia

Lelaki bunuh isteri guna dumbel diheret ke mahkamah

Bunuh isteri
IZZAT Saat diiringi pasukan CID dibawa ke Mahkamah Majistret bagi menghadapi pertuduhannya di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang disyaki memukul isterinya sehingga maut pada Khamis lalu diheret ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan bunuh.

Tertuduh, Izzat Saat dituduh membunuh Nurul Qurraisyia Zulkafli yang baru dinikahinya lapan bulan lalu dengan memukul pada bahagian badan dan kepala dekat rumahnya di Jalan Sungai Congkak, di sini.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu didakwa dengan niat melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap isterinya kira-kira pukul 10.30 malam.

Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara sehingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan.

Izzat yang memakai baju ‘T’ berwarna merah bata menundukkan kepalanya ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Farah Rosnan dan mengangguk faham.

Namun tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh kerana ia menjadi bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Majistret kemudian menetapkan tarikh bagi sebutan semula, pengurusan kes dan penyerahan laporan kimia, forensik dan bedah siasat pada 19 Februari depan.

Terdahulu lelaki berusia 38 tahun itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kira-kira pukul 9.32 pagi sambil diiringi pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saidah Fasihah Che Yussoff sementara tertuduh diwakili peguam Rezal Mazli Abdul Muin dan M. Hafiz Zainol Abidin.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan tindakan Izzat mendakwa isterinya tidak sedarkan diri akibat diserang sawan terbongkar apabila Nurul Qurraisyia, 33, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Shah Alam dan terdapat kesan cedera pada bahagian badan dan kepala.

Siasatan polis selepas menahan tertuduh pada hari sama itu mendapati mangsa dipercayai dipukul dengan menggunakan dumbel dan tidak sedarkan diri sebelum di bawa ke hospital berkenaan.

Mahkamah Majistret pada 16 Disember lalu membenarkan permohonan polis menahan reman tertuduh selama tujuh hari bermula pada tarikh tersebut.

Pasangan itu sebelum ini dikatakan tinggal berjauhan apabila mangsa dilaporkan bekerja sebagai seorang pensyarah di Kolej Vokasional Miri di Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya