BAGAN DATUK: Seorang lelaki di sini menggunakan kemahirannya bertukang dengan membina sebuah rumah sendiri daripada kayu dan papan terpakai.
Bukan sahaja bangunan rumah malah hampir semua peralatan di rumah Zaki Abdul Rahman 68, di Batu 20 Jalan Bagan Datuk di sini seperti perabot, kerusi, almari, meja, kabinet dapur, ruang pejabat, ruang tamu, dinding dan tingkap rumah diperbuat daripada kayu terpakai.
Untuk kelihatan lebih cantik dan menarik, Zaki membuat ukiran pada beberapa bahagian rumahnya.
Zaki, yang mula minat bertukang pada 2004 berkata, idea untuk membuat rumah dan perkakasan daripada kayu selepas melihat banyak rumah yang terbiar akibat ditinggalkan.
Menurutnya, daripada dibiarkan reput, lebih baik papan yang masih elok digunakan semula.
“Dari situ timbul minat untuk membina rumah dan perkakasan rumah daripada kayu.
“Saya buat rumah ini sedikit demi sedikit menggunakan kayu daripada rumah lama yang masih boleh digunakan.
“Saya juga menggunakan papan palet untuk membina peralatan rumah seperti kerusi dan meja.
“Saya berpuas hati kerana dapat menyiapkan sebuah rumah yang lengkap, diperbuat daripada kayu.
“Saya juga membuat ukiran di beberapa bahagian, ukiran seni bina orang Melayu, ini secara tidak langsung mengingatkan kenangan saya terhadap rumah orang Melayu dulu-dulu,” katanya.
Katanya, rumah asalnya hanyalah sebuah rumah buruk yang mempunyai satu bilik.
Jelasnya, apabila dia kembali tinggal di kampung pada tahun 2004, setelah bekerja di sebuah hotel di Kuala Lumpur, dia mula memperbaiki rumahnya yang dibina dengan kayu dan papan terpakai.
“Cara ini bukan sahaja menjimatkan kos selain generasi muda dapat melihat keunikan seni bina Melayu,” katanya.-UTUSAN