SURABAYA: Cabaran golf berkonsepkan pelancongan, Leisuremania Golf yang telah bertapak sejak 2014 di Indonesia, bakal diberikan suntikan baru pada ulang tahun ke 10 penganjurannya tahun hadapan.
Kejohanan golf yang menghimpunkan pemain-pemain golf amatur dari Malaysia mencabar keupayaan diri di lapangan-lapangan golf terbaik Indonesia, berkemungkinan akan dilangsungkan selama dua hari kejohanan berbanding satu hari sahaja selama ini.
Menurut penganjurnya, Leisure Golf Services, mereka bercadang untuk menambah satu pusingan lagi bagi hari pertandingan atas maklum balas yang diterima dari para peserta.
“Selama ini, para peserta akan bermain tiga pusingan di lapangan golf berbeza, namun hanya catatan pada hari terakhir diambil kira untuk pertandingan. Tetapi bagi 2024, kami tidak menolak kemungkinan untuk menjadikan Cabaran Golf Leisuremania lebih menarik dengan format dua hari pertandingan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LGS, Steven Leow.
Selain itu, LGS juga sedang berkira-kira untuk melebarkan sayap pertandingan ke Vietnam dan Thailand tetapi ianya masih di peringkat cadangan.
LGS merupakan syarikat pelancongan golf milik rakyat Malaysia, tetapi menjalankan operasinya berpusat di Jakarta.
“Sepanjang tahun 2023, Leisuremania Golf telah berjaya dilangsungkan sebanyak empat pusingan iaitu dua kali di Jakarta, Bandung dan yang terkini di Surabaya.
“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan kerana selain bermain golf, para peserta juga berpeluang untuk berlibur di sini,” tambah Steven.
Siri ke-4 Leisuremania Golf 2023 yang berakhir Surabaya pada minggu lalu telah dilangsungkan di Kelab Golf Ciputra yang menyaksikan pemain dari Kelab Golf Ayer Keroh, Sabudin Abd. Aziz muncul juara setelah mencatat 69 pukulan, tiga di bawah par.
Terdahulu para peserta berpeluang menawan dua lagi lapangan di Surabaya iaitu Kelab Golf Taman Dayu dan Lapangan Golf Bukit Darmo.
Kalendar kejohanan golf Leisuremania 2024 akan bermula seawal Januari nanti di Jakarta dengan 3 lapangan berstatus A iaitu Bogor Raya GC, Kelab Golf Imperial dan Lapangan Golf Sedayu menanti para pemain untuk beraksi. – UTUSAN