KOTA KINABALU: Laungan ‘Selamatkan Sabah, Sejahterakan Rakyat’ yang kini menjadi slogan perjuangan Parti Warisan (Warisan) disifatkan sekadar retorik semata-mata.
Rakyat Sabah pada masa ini cukup matang untuk melihat hasil berbanding retorik yang diperjuangkan oleh parti pembangkang.
Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, apa juga slogan yang dimainkan oleh pembangkang di peringkat negeri, mereka (Warisan) pernah menjadi pemerintah di Sabah jadi, mereka seharusnya melihat kembali prestasi mereka.
“Kami dalam GRS tidak peduli apa juga agenda, apa juga slogan yang dimainkan. Sekarang di peringkat negeri, kerajaan adalah GRS-PH dan keutamaan kami untuk menunaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin bagi menangani isu-isu rakyat,” katanya semasa Sabah Street Fashion Show semalam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, jika ingin menyebut tentang selamatkan Sabah, GRS yang telah berjaya menyelamatkan Sabah dalam usaha menuntut pemberian khas daripada kerajaan Persekutuan.
Menurut Armizan, GRS selamatkan Sabah daripada menerima pemberian khas berjumlah hanya RM53 juta kepada RM125 juta dan jumlah itu ditingkatkan kepada RM300 juta.
Katanya, kerajaan Warisan menerusi surat persetujuan pada Oktober 2019 bersetuju untuk menerima RM53 juta bagi pemberian khas. Namun, sebaik sahaja kerajaan GRS mengambil alih tampuk pemerintahan, surat persetujuan itu dibatalkan dan GRS menuntut jumlah yang lebih besar.
“Jadi (kerajaan) mana yang selamatkan Sabah, yang setuju menerima RM53 juta atau RM300 juta?. Itu soalan saya.
“Malah, saya pernah tanya kepada seorang ahli Parlimen (Warisan), apa asas mereka setuju menerima RM53 juta pada 2019. Adakah RM53 juta itu 40 peratus? Sampai sekarang ahli Parlimen itu tidak jawab.
“Jadi, saya mahu bertanya kepada Ahli Parlimen Kota Belud (Isnaraissah Munirah Majilis) yang berada dalam kerajaan Persekutuan sebagai Timbalan Menteri pada masa itu, adakah RM53 juta yang dipersetujui dalam surat rasmi pada 2019 oleh kerajaan Warisan itu mewakili 40 peratus?,” katanya.
Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, ketika ini Warisan bersungguh-sungguh bercakap soal 40 peratus tapi, semasa mereka berkuasa, mereka hanya bersetuju dengan RM53 juta pemberian khas.
Menurut beliau, rakyat Sabah tidak akan maju jika bersandar kepada retorik politik. Malah, jika dilihat semua pemimpin politik di Sabah ketika ini pernah berada dalam kerajaan negeri dan Persekutuan jadi boleh semak rekod prestasi masing-masing. –UTUSAN