KUALA SELANGOR: Larangan merokok di premis makanan termasuk restoran kekal dikuatkuasakan, malah akan dipertingkatkan menerusi pengawasan Kementerian Kesihatan (KKM).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, individu yang merokok di premis tumpuan umum itu dinasihatkan mengamalkan penguatkuasaan kendiri.
Jelas beliau, pihaknya bukan mahu menghukum, namun sebarang tingkah laku seseorang itu perlu bermula dengan kesedaran.
“Merokok itu boleh, namun harus memerhatikan kesesuaian keadaan sekeliling terutama faktor jarak tiga meter dari premis.
“Penguatkuasaan larangan itu tetap sama dan kita akan pertingkatkan pengawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas menziarah pesakit warga emas di Ijok di sini, petang semalam.
Tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap perokok yang ingkar akan larangan merokok di premis makanan dilaksanakan bermula 1 Januari 2020.
Perbuatan merokok wajib dilakukan di luar jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis berkenaan.
Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, kompaun RM250 boleh dikenakan dan jika gagal membayarnya, mereka akan didakwa di mahkamah dengan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau maksimum dua tahun penjara.
Tambah Dzulkefly, sesuatu perundangan itu tidak akan berjaya sekiranya semua pihak tidak memahami objektif utama pelaksanannya.
“Tujuan kita adalah mahu mengelak kaki rokok berkongsi asap ‘basi’ dengan kumpulan sasaran yang tidak merokok.
“Ia terutamanya melibatkan golongan warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak kecil,” ujarnya. – UTUSAN