PETALING JAYA : Polis tidak boleh mendedahkan semua laporan hasil bedah siasat membabitkan kanak-kanak, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, kepada umum dikhuatiri akan menggangu siasatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin Abd Hamid berkata, setiap maklumat yang diperoleh pihak polis perlu dijaga kerahsiaanya.
“Apabila kita dapat maklumat, sudah pasti Ketua Polis Selangor akan maklumkan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian, hari ini.
Dalam pada itu, Mohammad Fakhrudin mengingatkan, siasatan akan dilakukan terhadap mana-mana individu yang memberikan laporan tidak tepat sehingga mencemarkan keluarga mangsa.
“Polis juga akan membuka laporan sekiranya ada komen-komen daripada orang awam yang palsu dan boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Tindakan tegas juga diambil kepada mereka yang menyebarkan maklumat sehingga mencemar maruah keluarga mangsa. Kita (polis) memandang serius perkara ini,” jelasnya.
Terdahulu, empat anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dikerahkan ke lokasi kanak-kanak itu ditemukan bagi mengesan sekiranya terdapat penemuan petunjuk baharu.
Turut hadir ke lokasi, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib. – UTUSAN