Lantikan Timbalan Menteri Kewangan cabaran baharu - Hui Ying  - Utusan Malaysia

Lantikan Timbalan Menteri Kewangan cabaran baharu – Hui Ying 

LIM Hui Ying pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini. -GAMBAR JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan baharu menyifatkan pelantikan ke jawatan berkenaan merupakan cabaran baharu buatnya.

Hui Ying berkata, beliau akan cuba sedaya upaya untuk menunaikan amanah tersebut berlandaskan dasar Kerajaan Perpaduan dan visi Perdana Menteri serta prinsip-prinsip integriti yang mulia.

”Harapan rakyat adalah sangat tinggi dan barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan telah diberi tanggungjawab untuk memperjuangkan kebaikan rakyat dan negara.

“Portfolio Timbalan Menteri Kewangan merupakan portfolio kedua saya sejak tahun 2022. Pengalaman sebagai Timbalan Menteri Pendidikan akan dapat membantu saya menjalankan tugas berkaitan perbendaharaan negara bersama dengan Menteri Kewangan,” katanya di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang menyaksikan pertukaran beberapa portfolio jawatan Menteri dan Timbalan Menteri.

Antara yang terlibat ialah Hui Ying yang sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pendidikan yang kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Hui Ying berkata, beliau akan memikul amanah dan tanggungjawab yang penting dengan sebaik mungkin dan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Dalam pada itu, Hui Ying turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang merupakan rakan seperjuangannya sejak dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Pulau Pinang.

”Beliau (Fadhlina) telah mengamanahkan tugasan serta tanggungjawab yang penting dalam Kementerian Pendidikan kepada saya selama ini.

“Saya yakin beliau akan terus memimpin kementerian terbesar ini dengan baik dan menjayakan tujuh Teras Utama dalam menerajui sistem pendidikan negara,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berterima kasih kepada Anwar atas kepercayaan melantiknya sebagai Timbalan Menteri Kewangan bagi membantu dalam usaha pembangunan negara.

”Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan parti DAP terutamanya Setiausaha Agung merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mencadangkan nama saya untuk dilantik menjadi Timbalan Menteri yang mempunyai tanggungjawab yang berat ini,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN