KUCHING: Lantikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memegang peranan baru sebagai Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam turut memberi peluang kepada Sarawak, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelasnya, Sarawak diketahui mempunyai agenda terhadap tenaga boleh diperbaharui itu membolehkan dasar tenaga diatur semula serta meletakkan Malaysia sebagai hab hijau di rantau ini.
“Dengan penekanan Sarawak terhadap tenaga boleh diperbaharui adalah wajar bagi melantik Datuk Seri Fadillah untuk mengatur semula dasar tenaga dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai hab hijau di rantau ini.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi lantikan itu kepada Datuk Seri Fadillah,” katanya dengan ringkas dalam satu hantaran mesej melalui aplikasi Whatsapp.
Terdahulu, penstrukturan semula Kabinet Kerajaan Perpaduan menyaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memegang peranan baru sebagai Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.
Ujar Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kementerian baharu yang ditubuhkan itu adalah pemisahan bidang tugas daripada kementerian Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sebelum ini.
Dalam kementerian baharu itu juga Fadillah akan diberi tanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal Sabah dan Sarawak.
Sebelum ini, Fadillah memegang portfolio sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dan kini Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengisi kekosongan itu. –UTUSAN