PETALING JAYA: Penyanyi, Kaka Azraff dikatakan berdepan tindakan syarikat rakaman, Warner Music yang menamatkan kontrak nyanyiannya gara-gara kelantangan bersuara menentang kekejaman regim Zionis.
Perkara tersebut mula tercetus selepas tular salinan surat rasmi yang memaklumkan syarikat rakaman tersebut telah menamatkan kontrak penyanyi Gila itu.
Ketika dihubungi rakan media, Kaka bagaimanapun enggan mengulas dan mohon diberikan ruang berhubung dakwaan yang mendapat kecaman rakyat Malaysia yang terkesan dengan penderitaan penduduk Palestin.
Nama penyanyi itu juga dilihat sudah dipadam daripada senarai artis tempatan yang bernaung di bawah Warner Music Malaysia.
Antara selebriti yang masih bernauh di bawah Warner Music Malaysia ialah Bunga Isme, Alif Satar & The Locos, Zynakal dan Janna Nick.
Tindakan menamatkan kontrak itu difahmkan bermula selepas penyanyi tersebut meninggalkan komen dengan mengecam pempengaruh dan pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic, beberapa minggu lalu.
“Kerana Israel adalah orang yang memulakan (perang). Israel mencuri tanah mereka dan kini bertindak seperti mereka mangsa?
“Orang sakit. Hitler sepatutnya membunuh semua Israel!” tulis Kaka.
Bagaimanapun, sebuah akaun di Instagram mula mendedahkan gambar, butiran peribadi, syarikat dinaunginya iaitu Warner Music Malaysia serta melabel penyanyi tersebut sebagai anti-Yahudi.
Susulan pendedahan itu, Kaka mula diserang secara maya oleh golongan pro-Israel.
Terdahulu, pada 13 Oktober lalu, syarikat induk, Warner Music Group memuat naik sebuah hantaran Instagram yang menyatakan sokongan mereka terhadap Israel selain menyifatkan Hamas sebagai pengganas. –UTUSAN