PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying mengakui bahawa lantikannya sebagai Timbalan Menteri Kewangan sebagai suatu landskap berbeza berbanding peranannya di Kementerian Pendidikan (KPM) setahun yang lalu.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan menggunakan pengalamannya selama setahun di KPM untuk membantu Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan II di kementerian ini.
“Dalam masa setahun, saya banyak belajar dan merasai pelbagai pengalaman berbeza kerana sebelum itu hanya sebagai ahli politik.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan atas lantikan ini,” katanya ketika ditemui selepas mengimbas kad perakam waktu di lobi bangunan Perbendaharaan pagi tadi.
Katanya, semalam juga adalah hari pertama tugasannya sebagai Timbalan Menteri Kewangan selepas diamanahkan untuk membentangkan Rang Undang Undang Kewangan (No. 2) 2023 di Dewan Negara.
Hui Ying berkata, bacaan kali ketiga RUU itu berjalan dengan baik dan lancar dibantu pegawai Kementerian Kewangan (MOF).
“Walaupun tiada apa-apa pengetahuan tapi saya dibantu dengan baik oleh pegawai dari bahagian cukai MOF dan RUU itu dibentang dengan baik,” katanya.
Hui Ying dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.
Selasa lalu, Anwar melakukan rombakan Kabinet yang pertama sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan, dalam usaha memperkukuhkan pentadbiran sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa. – UTUSAN