Lambakan penyelidikan universiti tidak dimanfaat

Lambakan penyelidikan universiti tidak dimanfaat

GAMBAR HIASAN IHSAN UIAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah besar hasil penyelidikan universiti tidak dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan masyarakat dan negara kerana wujudnya jurang besar antara universiti dan agensi kerajaan.

Hal ini mengakibatkan berlaku lambakan penyelidikan serta penghasilan teknologi tinggi dilaksanakan universiti yang kebanyakannya berakhir dalam peringkat jurnal sahaja.

Pada masa ini terdapat lima universiti yang diiktiraf sebagai universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.

Mengikut rekod, lebih 9,200 jurnal yang signifikan dan terkenal, melangkaui 178 disiplin, diterbitkan di Malaysia khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof Ahmad Ismail berkata, situasi itu mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian besar sedangkan kerajaan memperuntukkan sejumlah besar dana bagi tujuan penyelidikan universiti.

Di bawah Belanjawan 2024, kerajaaan memperuntukan sebanyak RM50 juta untuk geran padanan universiti awam bekerjasama dengan sektor swasta dalam merancakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi yang boleh dikomersialkan.

Pada masa sama, sejumlah RM510 juta dana dikhususkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Kajian dan aktiviti di universiti dalam pengajaran dan penyelidikan seharusnya dimanfaatkan oleh masyarakat terutamanya bagi hal-hal yang kritikal.

“Penemuan baharu dan terkehadapan dapat membantu negara bersedia atau merujuk untuk perancangan seperti dasar kerajaan misalnya dalam setiap Rancangan Malaysia,” katanya di sini semalam.

Ahmad berkata, banyak negara maju sangat bergantung kepada ahli akademik dan penyelidik di universiti serta institusi penyelidikan dalam membangunkan masyarakat setempat, negara umumnya terutama dalam hal berkaitan maklumat asas dan teknologi tinggi.

Bagaimanapun, katanya, di Malaysia masih terlihat ada jurang antara universiti dan institusi lain terutamanya dengan agensi kerajaan, industri dan institusi kemasyarakatan mengakibatkan integrasi ilmu, penemuan baharu, dan teknologi tinggi tidak berlaku.

Malah, jelas beliau masih terdapat salah faham berkaitan peranan universiti dalam masyarakat.

“Kombinasi kerajaan dan ahli akademik diperlukan dalam mencari kaedah atau tindakan efektif untuk merancang dan menyelesaikan masalah negara ke arah masyarakat dan budaya yang lestari, sejahtera dan memenuhi kehendak Malaysia Madani.

“Budaya ahli akademik dengan mahasiswa dalam dewan kuliah dan makmal perlu diubah dan dikembangkan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Pada masa sama, katanya, universiti perlu mempunyai sistem kawalan kualiti yang kemas, teratur dan cekap dalam penghasilan graduan, pensyarah dan hasil penyelidikan supaya ia boleh dimanfaatkan masyarakat dan negara dalam bentuk yang lebih meluas.

Bagi menghadapi cabaran dan masalah negara, beliau berkata, universiti sepatutnya menilai semula bidang penyelidikan dan peruntukan untuk tujuan itu dengan mengutamakan keperluan negara.

“Taburan peruntukan boleh diagihkan mengikut 30 peratus matlamat negara mengikut nic universiti berkaitan, 30 peratus kepada fokus universiti mengikut kekuatan tenaga akademik dan bidang di universiti, 20 peratus peruntukan bagi kajian cemerlang sama ada untuk keilmuan atau kegunaan masyarakat dan negara.

“Manakala 20 peratus lagi untuk diagihkan kepada semua pensyarah menjalankan penyelidikan bersama mahasiswa di bawah bimbingan mereka,” katanya.

Beliau berkata, banyak isu yang berlaku seperti isu keterjaminan makanan boleh diselesaikan jika pihak berkaitan boleh mendekati universiti agar dapat membantu untuk mengintegrasikan kajian industri.

“Semua profesor sepatutnya berada dalam mana-mana jawatankuasa yang sesuai seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kawasan Parlimen, Kementerian-kementerian dan agensi berkaitan kerajaan dan industri.

“Keberadaan mereka di bahagian berkenaan dapat memberikan pandangan kepakaran dan pengalaman mereka serta mendekatkan universiti dengan kerajaan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN