STILL Life merupakan antara genre foto menarik diterokai.
Visual ini sering menggambarkan sebuah hasil seni yang menunjukkan subjek tidak bernyawa yang dijumpai dari alam semulajadi atau buatan manusia seperti buah-buahan, bunga, bekas, tembikar atau bakul, memerlukan ketelitian mendalam.
Dalam bidang fotografi , jurufoto disaran untuk bermain dengan perspektif dan susun atur subjek yang juga dikenali sebagai komposisi
atau menonjolkan pelbagai teknik pencahayaan agar visual terhasil, terlihat ‘hidup’.
Pemahaman tentang perbezaan impak cahaya ini penting dalam fotografi untuk mencipta kesan diingini.
Melihat kepada kepentingan cahaya sebagai komponen penting dalam fotografi , jurufoto seharusnya mempertimbangkan sumber
cahaya dan mendalami selok belok arah cahaya.
Ini kerana penataan cahaya akan berubah bergantung pada konteks, kecerahan dan kontras di sekitar subjek disinari.
Pencahayaan tepat memiliki peranan dalam menghurai tekstur yang ada pada subjek. Dengan penerapan pencahayaan yang baik,
jurufoto dapat mencipta kesan bayang yang membantu dalam menampilkan ketajaman serta dimensi daripada subjek tersebut.
Selain daripada itu, pencahayaan yang kreatif akan sentiasa menimbulkan mood dan menyentuh emosi.
Mulai dari suasana terang dan cerah hingga suasana yang lebih dramatis dan gelap, pencahayaan merupakan kunci menentukan keindahan subjek dalam gambar.
Perkongsian ini menyoroti keindahan dan ketelitian dalam menghasilkan gambar still life. Dalam mencipta visual yang ‘hidup’ dan menarik, jurufoto perlu mempertimbangkan perspektif, komposisi dan teknik pencahayaan agar keindahan yang unik pada setiap subjek dapat diabadikan dengan baik.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Fotografi Dan Pengimejan Kreatif Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM, Perak.