GANAS, bertenaga dengan gabungan idea muzik antara kumpulan hip hop, SECTO dan PSYCHGRIT membuatkan mereka tampil dengan buah tangan terbaharu bertajuk ‘Swing’.
‘Swing’ membawa SECTO dengan ahli seramai 13 orang itu keluar daripada zon selesa apabila menggabungkan rentak “boom bap” yang terkenal dalam lapangan hip hop bawah tanah dengan sentuhan orkestra, dan heavy metal.
Menurut ahli kumpulan SECTO yang terlibat dalam penghasilan lagu ini iaitu Dano Wong, En. Atan dan ASXH, proses menyiapkan Swing memakan masa hanya sebulan dengan menggunakan khidmat Hazardgeek selaku penerbit.
“Asalnya lagu Swing dirancang untuk mengadaptasi genre yang lebih lembut dengan elemen blues. Namun ia tidak selari dengan lirik yang garang.
“Hasil eksperimentasi penerbit lagu kami iaitu Hazardgeek, maka kami membawakan rentak “boom bap” dengan gabungan muzik dari band Psychgrit.
“Swing merupakan lagu pertama yang membawa kami keluar daripada zon selesa khususnya dari segi bunyi. Mungkin kali ini sifat produksi agak berbeza kerana track ini telah diadun oleh Hazardgeek yang terkenal dengan adunan berasaskan “clarity” dan “in-your-face vocal” yang menonjolkan potensi suara setiap ahli SECTO,” kata ASXH.
Keluar dari zon selesa
Bercerita lanjut mengenai mesej di dalam Swing, lagu tersebut boleh dianggap sebagai jawapan mereka ketika berhadapan dengan individu yang penuh kesumat menghancurkan impian orang lain.
“Kekuatan lirik sesebuah lagu kadangkala tenggelam kerana ramai yang lebih memberi fokus kepada elemen muzik di dalam lagu.
“Penulisan lagu kami banyak memberi fokus kepada isu-isu berkaitan komuniti. Lumrah dalam kehidupan, akan sentiasa ada orang yang ingin menjatuhkan orang yang lain ketika dia sedang mengejar matlamat hidup.
“Lagu ini adalah jawapan kami kepada mereka semua,” kata Atan.
Anugerah lagu Indie 2024
Memasuki tahun 2024, SECTO memasang impian untuk lebih agresif melakukan kolaborasi dengan pemuzik tempatan di samping mensasarkan untuk melangkah ke Anugerah Lagu Indie.
“Kami sendiri agak teruja untuk mengumumkan projek kolaborasi bersama kugiran-kugiran tempatan seperti contoh “Judos” dan lain-lain.
“Di samping itu, ada juga ingin menerbitkan lagu yang dinyanyikan ramai rapper. Jika ada rezeki, kami akan maju dalam Anugerah Lagu Indie tahun hadapan,” katanya.
Swing kini boleh didengari menerusi platform penstriman muzik dan YouTube.