KPT kenal pasti universiti hadapi masalah penginapan pelajar - Utusan Malaysia

KPT kenal pasti universiti hadapi masalah penginapan pelajar

ZAMBRY Abd. Kadir (tengah) beramah mesra dengan pelajar ketika lawatan kerja di kolej kediaman di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Proton City di Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mengenal pasti institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini yang berhadapan masalah ketidakcukupan penginapan untuk pelajar.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah tersebut diambil bagi membolehkan pihaknya mengenal pasti universiti yang memerlukan penyelesaian segera berkaitan masalah berkenaan.

“Isu (kekurangan penginapan pelajar) ini dihadapi banyak IPTA. Antara langkah penyelesaian yang sedang diambil ialah mengadakan perbincangan dengan pengurusan universiti yang memerlukan keperluan tersebut.

“Saya juga telah berbincang dengan pengurusan tertinggi kementerian, supaya kita kenal pasti universiti yang memerlukan penyelesaian segera.

“Setakat ini, saya dimaklumkan terdapat beberapa universiti yang memerlukan tindakan bagi menyelesaikan masalah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke kolej kediaman di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Proton City di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan sememangnya prihatin dengan masalah yang dihadapi pelajar untuk mendapatkan rumah atau bilik penginapan ekoran kadar sewa yang tinggi.

“Keprihatin kerajaan adalah untuk mengurangkan bebanan pelajar disebabkan kos sara hidup yang tinggi, kadar sewa yang tinggi dan jumlah rumah sewa yang terhad di sesebuah kawasan.

“Perkara ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau prihatin dengan masalah yang dihadapi pelajar,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan kerjanya ke UPSI, Zambry berkata, pihak pengurusan universiti itu telah mengambil langkah proaktif dengan menambah bilangan penginapan pelajar di kolej kediaman kampus berkenaan.

Katanya, pihak universiti menyasarkan 70 peratus pelajar UPSI akan menginap di dalam kampus berbanding 40 peratus sebelum ini.

“Setakat ini, seramai 7,000 pelajar tinggal di dalam kampus dan kita jangka dengan penambahan asrama, jumlahnya akan meningkat kepada 14,000 pelajar menjelang Oktober depan.

“Bagaimanapun, dalam pada kita mahu menambah kapasiti pelajar, perlu dipastikan adalah keselesaan pelajar. Mereka ini perlu dilibatkan dalam sebarang perancangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya