NIBONG TEBAL: Rakan sinergi yang memiliki kepakaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dipelawa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mempertingkatkan pendidikan digital berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) di peringkat sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penyertaan syarikat korporat diyakini dapat membantu usaha kementerian memperkasakan pendidikan masa depan selaras dasar dan hala tuju yang digariskan dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
“Kita telah meluncurkan dasar pendidikan digital berkonsepkan kelas masa depan yang sedikit sebanyak memerlukan pelaburan dan penyertaan daripada rakan-rakan berkepentingan.
“Justeru, diharapkan lebih banyak syarikat korporat yang mempunyai kepakaran dalam STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matimatik) dan TVET supaya memohon kepada KPM untuk menjadi rakan sinergi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Rintis STEAM dan Makmal STEAM di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Eng Sungai Udang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, inisiatif mewujudkan makmal STEAM itu menjadi antara perkara yang diangkat pihak KPM.
Katanya, makmal bersifat interaktif menggunakan teknologi digital membabitkan penyertaan pelajar adalah usaha baik dalam memastikan agenda pendidikan digital KPM mencapai matlamatnya.
“Di samping itu, perlu dititik-beratkan juga kompetensi guru dan anak-anak dari segi kefasihan digital.
“Guru-guru terlibat akan diberikan kursus supaya pembelajaran berteraskan digital ini dapat disampaikan secara berkesan,” katanya. – UTUSAN