PUTRAJAYA : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal menganjurkan Karnival Barangan Malaysia 2023 (KBM 2023) yang berlangsung di IOI Grand Exhibition & Convention Centre, IOI City Mall bermula pada 13 hingga 17 Disember ini.
Karnival yang berlangsung selama lima hari itu bertujuan mempamer dan meraikan kepelbagaian, kualiti dan inovasi produk negara.
Antara objektif utama untuk menampilkan produk tempatan bukan sahaja mempunyai kualiti bertaraf dunia tetapi juga mempunyai potensi besar untuk dipasarkan ke peringkat global.
Melalui peningkatkan pengiktirafan dan penjenamaan tersebut, produk Malaysia bakal menjadi duta bagi budaya dan warisan negara.
Acara tahunan tersebut akan menjadi satu platform penting kepada peniaga dan usahawan untuk mempamer produk, mengembangkan jalinan berkolaborasi dengan rakan-rakan strategik yang berpotensi seterusnya menampilkan produk dalam kalangan pembeli.
Karnival kali ini melibatkan lebih 100 pempamer merangkumi pelbagai produk termasuk seni tradisional hingga ke peringkat inovasi moden.
Pengunjung turut berpeluang menerokai dan menyaksikan kepelbagaian hasil anak tempatan, memanfaatkan peluang menemui barangan baharu disamping menyokong perniagaan produk tempatan serta berbangga dengan warisan negara.
Pelbagai inisiatif strategik telah dirancang oleh kerajaan melalui KPDN untuk membantu perniagaan dan industri tempatan mencapai kejayaan sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Karnival yang bakal berlangsung merupakan acara kemuncak bagi KBM 2023 selepas tamat siri Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023 yang bermula pada 25 – 27 Ogos lalu di beberapa peringkat zon.
Antaranya telah diadakan di Kuantan, Pahang, Kota Kinabalu, Sabah, Alor Setar, Kedah, Johor Bahru, Johor dan Miri Sarawak.
Orang ramai dijemput hadir beramai- ramai memeriahkan KBM 2023 dan boleh melayari media sosial Kempen Beli Barangan Malaysia (Facebook- Kempen Beli Barangan Malaysia, Instagram @kempenbelibaranganmalaysia, X; @KBBMKPDN, TikTok; @kbbm_my, dan YouTube; @kempenbelibaranganmalaysia2023) bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai pelbagai aktiviti.