KLANG: Angkatan Amanah Wanita (Awan) digesa memohon kelulusan di peringkat nasional bagi pelan tindakan sayap Parti Amanah itu untuk menyusun gerak kerja memposisikan calon strategik dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, kegagalan memastikan kemenangan wanita pada banyak kerusi dalam pilihan raya sebelum ini adalah berikutan tidak mengenali bakat dan calon yang berwibawa untuk diketengahkan.
Menurutnya, kegagalan tersebut menyebabkan ramai wanita khususnya dalam Amanah tidak terpilih untuk menjadi wakil rakyat dan pemimpin.
“Kalau kita sepakat boleh menang, siapa pun jadi calon, apatah lagi kalau calon itu punyai wibawa, latar belakang yang baik dalam kalangan wanita, alhamdulillah kita hendak pecahkan ruyung kita di Kelantan (Dewan Undangan Negeri Kota Lama), akhirnya saya ucapkan tahniah kepada Wanita Amanah kerana berjaya menjayakan mandat yang dibawa di peringkat nasional.
“Sebab itu gunakan kesempatan ini bina pelan strategik Wanita Amanah untuk menghadapi pilihan raya khusus untuk memposisikan Wanita Amanah di peringkat nasional.
“Saya yakin, kalau gerak kerjanya dibuat, kompetensinya ada, hubungannya baik dengan kawasan-kawasan dan dalam masa sama sehinggakan rakyat itu melihat tak ada orang lain melainkan itu yang boleh memberikan kemenangan disamping dokongan diberikan oleh rakan-rakan dalam Pakatan Harapan dan juga UMNO, BN, saya yakin Wanita Amanah dapat memposisikan diri mereka dengan lebih baik seperti mana yang ada pada hari ini,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Awan Nasional 2023, hari ini.
Pada PRU15 dan PRN lalu terdapat lima wakil daripada Wanita Amanah mendapat tempat dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Datuk Aiman Athirah Sabu (Parlimen Sepang), Mariam Abdul Rashid (DUN Meru), Anfal Shaari (DUN Taman Templer) dan Dr. Hafidzah Mustakim (DUN Kota Lama).
Dalam pada itu, Ketua Awan, Aiman Athirah memberitahu, sayap wanita bersedia menerima arahan daripada Naib Presidennya untuk merangka pelan tindakan strategik untuk memastikan lebih ramai wanita dapat diposisikan pada PRU dan PRN akan datang.
“Saya kira itu adalah satu arahan daripada Naib Presiden untuk kami di peringkat Wanita Amanah segera menyediakan satu pelan tindakan memposisikan wanita dalam PRU16. Jadi persediaan boleh dibuat lebih awal.
“Kita menyambut baik dan tidak perlu ada perbahasan untuk menolak atau menerima. Tinggal menyediakan rangka yang disebutkan tadi. Ia bukan pelan yang mudah kerana akan mengambil kira di seluruh negara serta calon-calon sedia ada termasuk yang sedang memimpin.
“Jadi, perkara itu saya kira adalah satu cara yang lebih progresif dan proaktif untuk memastikan 30 peratus wanita dalam meletakkan peranan wanita,” ujarnya. – UTUSAN