KLANG: Kaum Wanita kini dikatakan berdepan cabaran gender bias generasi kedua dipercayai dilakukan secara halus dan berbentuk tindakan berbanding terang-terangan yang pernah dihadapi sebelum ini.
Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Parti Amanah, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata wanita khususnya dalam partinya itu perlu mengenali dan fahami cabaran tersebut yang didakwa menyebabkan berlaku penyusutan terhadap sokongan kepada kaum itu.
Menurutnya, 20 orang wanita pada 1999 dalam Parlimen disifatkan sebagai melesat selepas 25 tahun negara berdepan dalam pilihan raya pada 1974 iaitu lima orang dan meningkat kepada 39 orang pada hari ini.
“Lima belas siri pilihan raya umum (PRU) berlalu, untuk rekod pada masa kini Parlimen Malaysia mempunyai 39 orang ahli wanita iaitu sembilan orang senator dan 30 ahli Dewan Rakyat menganjur semua parti, yang sebetulnya bukan sahaja gagal mencapai sasaran minimum 30 peratus, malah menyusut berbanding PRU14 lepas.
“Generasi kedua gender bias ini lebih halus dan selalunya tidak disengajakan, berbanding generasi pertama yang lebih jelas dan disengajakan. Masih lagi terdapat pemikiran ‘wanita kurang layak untuk diangkat sebagai pemimpin’.
“Maka, kita perlu fahami gender bias ini supaya kita tidak menganggap itu normal sembari menormalisasikannya. Selepas faham dan sedar, kita selayaknya boleh menetapkan destinasi dan hala tuju perjuangan dan organisasi yang kita pimpin,” katanya dalam Pidato Ketua Awan pada Konvensyen Amanah Wanita Nasional, hari ini.
Beliau menambah, bagaimanapun Awan enggan terperangkap dan menjadi mangsa dalam permainan stereotaip itu apabila percaya wanita mempunyai peranan sebagai ejen dan peneraju perubahan.
Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang itu antara 58 calon akan merebut Jawatankuasa Pimpinan Awan Nasional dalam pemilihannya pada Konvensyen Amanah Wanita Nasional 2023 pada hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan mengajak ahli mengenang jasa Timbalan Presiden, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memperkenalkan pelbagai dasar dan program untuk membantu rakyat.
“Jika kita masih ingat allahyarham memperkenalkan ‘Menu Rahmah‘ dalam usaha untuk memberi keselesaan ini. Ia telah mendapat perhatian yang baik oleh rakyat secara meluas, dan upaya mendekatkan kita Amanah dengan ummah.
“Ketika berucap di Konvensyen Khas Amanah di Shah Alam awal tahun ini, allahyarham sendiri menyatakan betapa idea program rahmah sendiri tercetus bermula daripada program Bakul Rahmah Awan Nasional yang kita gerakkan sepanjang pandemik Covid-19.
“Justeru kita harus memastikan kekayaan negara ini harus dikembalikan kepada rakyat sekurang-kurangnya dalam lima bentuk (antaranya) dengan penyediaan peluang pekerjaan dan itu dilakukan dengan gaji bermaruah. Kedua, dengan menstabilkan kos hidup secara berpatutan. Justeru, kerja-kerja Salahuddin jangan dibiar terhenti,” ucapnya. – UTUSAN