KLANG: Perwakilan Amanah sebulat suara meluluskan usul membanteras pemikiran takfiri iaitu budaya mengkafirkan orang lain dalam kalangan pimpinan politik yang dianggap berisiko menjejaskan pemahaman terhadap Islam pada masa hadapan.
Hal ini kerana, budaya pelampau itu kembali meruncing apabila terdapat sesetengah pemimpin parti politik yang dikaitkan dengan Islam dengan mudah bermain dengan sentimen tersebut semata-mata untuk meraih sokongan atau pengaruh.
Pembentang usul tersebut, Asri Baharom yang merupakan perwakilan dari Amanah Kubang Pasu berkata, sikap sedemikian dilihat seolah-olah mempermainkan hak Allah SWT yang menentukan hukuman syurga dan neraka.
“Mutakhir ini fahaman takfiri atau gejala takfir mula hidup kembali terutamanya di musim kempen pilihanraya umum atau negeri yang berlangsung beberapa bulan lalu. Gejala takfiri, iaitu mengkafirkan sesama umat islam, merupakan penyakit dalam masyarakat, bahkan ancaman bagi umat islam.
“Pemahaman ataupun pemikiran mahupun gejala ini dapat menyebabkan sifat ekstrem dan radikal serta mudah menimbulkan fitnah kepada sesiapa sahaja yang berbeza dengannya,” katanya pada Konvensyen Amanah Nasional 2023, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, isu mengkafirkan orang menimbulkan pertelagahan dalam Dewan Rakyat apabila tuduhan itu dilemparkan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary yang menuduh DAP sebagai kafir.
Bagaimanapun, beliau kemudian menarik balik dakwaan tersebut selepas ia menyebabkan ahli-ahli parlimen bertikam lidah dan menganggap tuduhan sedemikian sebagai biadab dan kurang sopan.
Dalam pada itu, Khairul mencadangkan parti mengambil empat langkah bagi menghapuskan budaya tersebut antaranya mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas kepada pihak terlibat, kedua menggubal undang-undang untuk menyekat penyebaran fahaman takfiri dan pemikiran pelampau.
“Ketiga, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan tinggi perlu merangka kurikulum memberi kefahaman dan pengetahuan betul yang tidak mencetuskan permusuhan terhadap Islam.
“Keempat, melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan agensi berkaitan untuk menggubal dan memperkasakan dasar serta pendekatan falsafah rahmatan lil alamin dan wasatiyyah,” tegasnya.
Usul tersebut kemudian dibahas dan disokong perwakilan Amanah dari Kuala Pilah, Khairul Azidi.
– UTUSAN