KLANG: Amanah menganggap Kerajaan Perpaduan yang tertubuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai terkuat dan tidak mudah diganggu dengan cubaan ‘tebuk atap’ oleh parti lawan.
Malah, dakwaan yang timbul sebelum ini yang mengatakan terdapat ahli-ahli parlimen kerajaan akan berpaling daripada Perdana Menteri berakhir dengan lima wakil dari Perikatan Nasional (PN) mengisytihar sokongan mereka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan yang tertubuh pada hari ini disifatkan berjaya membina ‘bumbung konkrit’ yang dapat mengelak daripada cubaan menumbangkannya.
“Mengungkap kata-kata Perdana Menteri dalam Perayaan Satu Tahun Kejayaan Kerajaan Perpaduan baru-baru ini, ‘pembentukan Kerajaan Perpaduan dilihat berhasil dan sudah berupaya membina bumbung yang konkrit daripada sebarang cubaan tebuk atap selepas setahun pentadbiran’.
“Perdana Menteri juga mendedahkan, tiada sekalipun pertelagahan akibat perbezaan parti dalam Kerajaan Persekutuan walaupun pentadbiran diketuainya dibentuk dengan gabungan 18 parti politik,” katanya dalam pidato presiden sempena Konvensyen Amanah Nasional 2023, hari ini.
Konvensyen yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menyaksikan lebih 1,000 perwakilan Amanah dari 188 kawasan seluruh di negara berhimpun dalam acara yang akan menyaksikan pemilihan kepemimpinan baharu parti itu.
Pemilihan tersebut akan berlangsung esok untuk memilih 27 anggota jawatankuasa peringkat nasional daripada 102 orang yang dicalonkan bagi menentukan pelantikan jawatan tertingginya iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan tiga orang Naib Presiden.
Dalam pada itu, Mohamad Sabu menegaskan partinya menolak amalan politik adu domba serta diskriminasi kaum minoriti yang berkonsepkan ‘ketuanan kaum’.
Menurutnya, Amanah, menentang politik identiti yang dianjurkan oleh PN yang membawa pendekatan adu domba serta menakut-nakutkan orang Melayu dan Islam kononnya mereka serta agamanya terancam.
“Apabila pegangan agama secara melampau, bergandingan dengan politik perkauman yang seolah-olah lupa akan sifat kepelbagaian budaya dan kemajmukan etnik, negara akan berterusan dalam berkeberantakan serta konflik perebutan kuasa politik dengan mengambil corak dan orientasi ‘identiti politik’, yang amat toksik, ekstrem dan jumud,” jelasnya.
Malah, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu turut menjelaskan Amanah yang menjangkau usia lapan tahun membina kekuatannya melalui kewibawaan serta kepakaran setiap pemimpinnya.
“Mungkin ada yang kata, sukar untuk mengukur kekuatan Amanah secara objektif, kerana kita bertanding pilihan raya sebagai rakan koalisi dalam Pakatan Harapan (PH).
“Ramai yang tidak tahu bahawa itulah ukuran kekuatan Amanah, yakni kekuatan strategi dan pendekatan politiknya yang menganjurkan coalition building sebagai asas kekuatan untuk memenangi pilihan raya. Ramai yang sedar hari ini bahawa telah berlalu sistem satu parti dominan,” ujarnya. – UTUSAN