PETALING JAYA: “Ini peluang terbaik untuk menutup mulut segelintir pihak di luar sana yang kerap membanding-bandingkan kami berdua.”
Demikian jawapan penyanyi, Aina Abdul ketika ditanya berhubung pemilihan rakan seperjuangan, Ernie Zakri sebagai penyanyi jemputan konsert solonya di Singapura, Januari depan.
Jelas Aina, selain memiliki vokal yang cukup hebat, Ernie juga adalah seorang penyanyi yang mampu saling ‘memberi persembahan hebat di konsertnya nanti.’
“Saya sendiri yang pilih Ernie kerana sangat kagum dengan bakat dan suaranya. Dia kalau menyanyi, boleh buat saya naik sheikh dan bulu roma saya sendiri pun meremang.
“Saya juga mahu melenyapkan tanggapan segelintir pihak bahawa kami berdua tak boleh bekerjasama untuk sesebuah projek. Saya mahu buktikan kuasa wanita itu wujud.
“Sejujurnya, kita perlukan lebih banyak perkara positif dalam industri,” ujarnya penyanyi Terus Hidup itu.
Dalam pada itu, Aina ketika ditanya berhubung kolaborasi yang bakal berlaku di atas pentas, penyanyi itu memberi bayangan bakal berduet dengan Ernie menerusi sebuah lagu.
“Alhamdulillah, Ernie juga menyambut baik pelawaan saya dan kami sebenarnya sudah pun berlatih sebuah lagu bersama. Peminat dan penonton yang hadir pasti akan menangis.
“Saya sangat mahukan momen itu dan sudah lama tak merasakannya dengan penyanyi wanita. Jadi, Ernie adalah pilihan terbaik,” kongsinya.
Untuk info, Aina mengumumkan bakal mengadakan konsert solonya di Singapura, A Night With Aina Abdul Live In Singapore bertempat di The Theatre Mediacorp pada 6 Januari tahun depan.
Konsert anjuran Neptune Presents dengan kerjasama Aina Abdul Entertainment itu akan digamatkan dengan 26 buah lagu popular sepanjang acara yang berdurasi selama dua jam 30 minit itu.
Persembahan pada malam itu nanti akan diiringi 15 pemuzik profesional yang diterbangkan dari Malaysia di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor, Mac Chew.-UTUSAN