PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal mengeluarkan arahan bagi pelaksanaan program imunisasi dos penggalak vaksin Covid-19 dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, usaha berkenaan akan dimaklumkan susulan peningkatan kes baharu dan berulang endemik itu dilapor sejak akhir-akhir ini.
Katanya, KKM amat menggalakkan penduduk di negara ini agar segera mengambil imunisasi penggalak kerana kadar jangkitan ketika ini dianggap masih rendah.
“Insya-Allah, KKM akan keluar satu arahan tertentu mengenai dos penggalak dan ini perlu terutama kepada kumpulan rentan ada risiko komorbiditi.
“Pastinya kita belum dapat lagi arahan daripada Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan) tetapi langkah pencegahan sebegini amat baik,” jelasnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulan Disember 2023 kementerian di sini hari ini.
Ditanya mengenai bekalan vaksin dos penggalak, beliau memberi jaminan bahawa stok berkenaan masih dalam simpanan KKM dan belum lagi mencapai tarikh luput penggunaan.
Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, pihaknya turut menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan saringan ketat di dua pintu masuk negara dengan Singapura.
Katanya, pihaknya tidak mengambil ringan dengan apa yang berlaku di negara-negara jiran berdasarkan pengalaman terjadi sebelum ini.
“Jika kita perhatikan ada keperluan, ia akan membawa pula kepada langkah intervensi dan mitigasi yang bersesuaian berbanding dengan memberikan suasana amaran,” tambahnya.
“Semua tindakan akan kita pertimbang dan kita (Kementerian Kesihatan) ada pelan tindakan seandainya timbul keperluan secara kecemasan,” ujarnya. – UTUSAN