KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza memaklumkan penganjuran konsertnya, Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada tahun hadapan adalah berdasarkan kemampuan dan perancangan awal pihaknya.
Kata Siti, dia percaya peluang di Axiata Arena adalah rezeki yang sudah ditetapkan untuknya justeru, penyanyi kesayangan ramai itu tetap bersyukur dan gembira meskipun tidak membuat persembahan di lokasi lebih besar seperti Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Rezeki saya pada tahun hadapan adalah untuk menganjurkan konsert di Axiata Arena, jadi kita enjoy dahulu di stadium tersebut. Pada masa akan datang, kalau ada rezeki di tempat yang lebih besar seperti Stadium Nasional Bukit Jalil, saya akan maklumkan.
“Tapi saya tidaklah terdesak untuk membuat konsert di stadium yang lebih besar. Konsert yang akan saya anjurkan adalah mengikut kemampuan saya dan perancangan yang telah dibuat lebih awal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Siti menjawab tentang permintaan peminat yang mahukan penyanyi tersebut membuat konsertnya dibuat di lokasi yang lebih besar seperti Staidum Nasional Bukit Jalil.
Siti merekodkan satu lagi pencapaian apabila pada semalam mengumumkan tiket bagi konsert tersebut habis terjual dalam masa 2 jam 30 minit.
Penyanyi nombor satu negara itu, dalam hantaran di Instagram berterima kasih kepada peminat yang menyokong usaha Yayasan Nurjiwa yang diasaskan Siti dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, menerusi pembelian tiket konsert berkenaan.
“Beberapa ketika kami akui terpaksa membuat keputusan dan memikirkan segenap sudut, kami tidak mahu ada tindakan yang tersalah, keputusan yang silap (mungkin anda juga memahami situasi terkini) lebih-lebih lagi mengadakan konsert atau hiburan.
“Tetapi, kami yakin apa yang kami lakukan adalah sebahagian usaha ke arah apa yang kami sudah usahakan. Bagi anda yang mengikuti Yayasan Nurjiwa, pasti mengetahui kluster utama kami adalah memberi bantuan kebajikan, kemanusiaan, agama, pendidikan dan bantuan Palestin.
“Yayasan Nurjiwa juga ada matlamat yang lebih besar dan luas dengan ketibaan bulan Ramadan dan Syawal sejurus selepas persembahan Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza. Ini adalah usaha dan kelangsungan daripada apa yang telah, sedang dan bakal Yayasan Nurjiwa lakukan.
“Kami ada misi yang besar untuk terus beramal dan membantu masyarakat dan tentunya apa yang telah anda sumbangkan menerusi persembahan ini adalah ke arah semua kerja amal dan kebajikan. Alhamdulillah. Terima kasih. Ini adalah amal dan sumbangan kita semua. Sesuatu yang kita zahirkan daripada hati untuk dikongsikan dengan orang lain,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Siti memaklumkan pihaknya tidak menjanjikan penambahan hari bagi konsert berkenaan disebabkan tarikh penganjuran yang menghampiri bulan Ramadan.
“Sehari awal juga tidak, kerana mahu memastikan gerak kerja teknikal dan produksi lancar pada hari yang sepatutnya,” kongsinya.