PETALING JAYA: Standard keselamatan siber di rantau Asia Tenggara dapat dipertingkat dengan penerusan kerjasama ASEAN-Jepun dan perkongsian amalan terbaik dari negara matahari terbit tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mengalakkan penerusan kerjasama itu dan mengiktiraf kepakaran Jepun dalam ruang siber.
Kata beliau, oleh kerana landskap digital sedang berkembang, ia menyebabkan ancaman siber turut meningkat dengan cepat.
“Bersama-sama, kita mesti mengutamakan perlindungan untuk rakyat daripada eksploitasi siber yang berkaitan dengan keganasan, pemerdagangan orang serta jenayah siber dan traditional,” katanya dalam ucapannya semasa agenda pertama Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN, sepertimana dipetik daripada portal Bernama.
Terdahulu, media melaporkan, Anwar mengadakan lawatan kerja ke Jepun untuk menyertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun.
Sidang kemuncak peringatan itu dijangka memperakukan Kenyataan Wawasan Bersama dan Pelan Pelaksanaannya yang akan menjadi dokumen-dokumen panduan untuk melakar hala tuju strategik perkongsian ASEAN-Jepun untuk masa hadapan.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, Jepun boleh berkongsi mengenai pengetahuan dan Kemahiran mereka kepada ASEAN dan mengfokuskan kepada bidang seperti perlindungan harta intelek, privasi data dan juga risikan ancaman. – UTUSAN