Kes ubah wang haram, rasuah Wan Saiful dibicara bersama

Kes ubah wang haram, rasuah Wan Saiful dibicara bersama

Empat Bersatu
WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes pengubahan wang haram dan rasuah yang dihadapi bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang sebelum ini berada di dua Mahkamah Sesyen di sini akan dibicarakan bersama.

Ia selepas Hakim Rozina Ayob membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. ‘Afif Ali.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta di hadapan Rozina manakala 18 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM5.59 juta berada di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Selain itu, pihak pendakwaan turut memohon agar perbicaraan yang ditetapkan pada 11 dan 12 Mac 2024 bagi kes pengubahan wang haram dilapangkan.

“Pihak kami mohon supaya tarikh perbicaraan pada 11 dan 12 Mac tahun depan yang ditetapkan sebelum ini dilapangkan bagi menyediakan dokumen untuk kes pengubahan wang haram. Pihak pendakwaan dan peguam juga memohon tarikh tambahan untuk perbicaraan,” katanya.

Permohonan tersebut dibenarkan Rozina yang turut menetapkan 19 hingga 21, 24 dan 25 Jun, 10 hingga 12 Julai dan 8 serta 9 Ogos 2024 sebagai tarikh perbicaraan tambahan.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful, 47, didakwa meminta dan menerima rasuah seorang individu bernama Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 25 Oktober lalu, Wan Saiful sebagai Pengarah Syarikat WA Advisory Group Sdn Bhd didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM78,800 daripada akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu ke akaun Public Bank Berhad milik Syarikat Tagami Auto Enterprise Sdn Bhd sebagai bayaran bagi pembelian sebuah kereta jenis Ford Ranger.

Beliau juga didakwa atas 12 pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram dari akaun CIMB Bank milik Syarikat WSA Advisory Group ke akaun CIMB Islamic Bank Berhad (RM291,564.96) dan Malayan Banking Berhad (RM49,000) milik tertuduh; Bank Rakyat milik Pertubuhan Penggerak Muafakat Bagan Seberang Perai Utara (RM36,550) dan RM180,000 dibayar kepada Majlis Sukan Negara Malaysia.

Wang hasil aktiviti haram itu turut dipindahkan ke beberapa akaun lain termasuk akaun Malayan Banking Berhad milik Syarikat Sinar Karangkraf Sdn Bhd (RM38,160); akaun Maybank Islamic Berhad milik Akademi Gagasan Minda Merdeka (RM100,000) dan akaun Hong Leong Bank milik Good Square Sdn Bhd (RM46,487.85).

Wan Saiful juga didakwa atas lima pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram menerusi empat keping cek CIMB Bank Berhad, masing-masing bernilai RM2.3 juta dan RM530,471.46 milik syarikat tertuduh ke akaun CIMB Islamic Bank Berhad miliknya; sekeping cek bernilai RM400,000 dibayar kepada Syarikat Jendela Timur Consultant dan dua keping cek masing-masing bernilai RM300,000 dan RM400,000 dibayar kepada Duckling Management & Services dan Fendi Dilif Resources.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN