Kes Covid-19 terkawal, tidak membebankan fasiliti kesihatan

Kes Covid-19 terkawal, tidak membebankan fasiliti kesihatan – Dr. Dzulkefly

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keadaan semasa kes Covid-19 di negara ini dilaporkan masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia biarpun wujud peningkatan jangkitan di dalam negara ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan terus memantau situasi Covid-19 termasuk varian berkaitan di dalam dan luar negara bagi mengurangkan jangkitan.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 20,696 kes dilaporkan pada ME 50/2023 iaitu dari 10 hingga 16 Disember 2023.

“Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 62.2 peratus berbanding dengan jumlah kes yang dilaporkan pada ME 49/2023,” katanya pada sidang akhbar khas di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr. Dzulkefly berkata, majoriti kes dilaporkan iaitu sebanyak 97 peratus terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Manakala, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula sebanyak 151 kes di mana 96 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Selain itu, kes kematian adalah sebanyak 28 kes dengan kadar kematian 0.1 peratus. Kematian tertinggi adalah dalam kalangan kes yang berumur 60 tahun ke atas (85 peratus) dan yang mempunyai komorbiditi (93 peratus),” katanya.

Katanya, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web KKMNOW di https://data.moh.gov.my. Data serta dikemaskini secara mingguan.

Ditanya sama ada wujud keperluan mengaktifkan semula imbasan MySejahtera sebelum memasuki premis, Dr. Dzulkefly berkata, perkara itu tidak berlaku ketika ini.

“Tidak buat masa ini,” jawabnya ringkas.

Sementara itu, mengulas kebimbangan awam mengenai kemasukan ramai pelancong asing ke dalam negara ketika ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, perkara itu sentiasa dalam pemantauan KKM.

“Saya tahu banyak kebimbangan yang mana ketika ini kita terima banyak pelancong dari luar terutama China. Buat masa sekarang, kita masih melakukan pemantauan.

“Kami dapati, tiada virus dan varian baharu Covid-19 dikesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya