RAWANG: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat menetapkan 5 Mac tahun depan bagi keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik oleh penyanyi Adira Suhaimi dan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu berhubung proses penceraian mereka.
Hakim Syarie Abdul Hadi Umar menetapkan tarikh itu selepas Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, 42, selesai melantik rakannya sebagai wakil JKP dalam prosiding hari ini.
Pada prosiding terdahulu, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 32, selaku plaintif selesai melantik kakaknya Emma Suhaimi bagi wakil JKP berkenaan.
Bagaimanapun Adira dan Datuk Red tidak hadir ke mahkamah hari ini selepas kehadiran mereka dikecualikan.
Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.
Terdahulu, peguam syarie Muhammad Akmal Amzan yang mewakili Datuk Red selaku defendan menyatakan ingin mengambil masa selama enam bulan bagi proses JKP itu.
Namun peguam syarie Nor Saidah Zakaria yang mewakil Adira membantah dan tidak bersetuju kerana tarikh itu terlalu lama.
Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan 5 Mac 2024 bagi kedua-dua pihak mengemukakan laporan JKP masing-masing.
“Tiada masalah sekiranya pihak plaintif dan defendan mahu berbincang kerana mereka masih bergelar suami isteri. Jika ada usaha untuk kembali semula, itu lebih baik dan mahkamah meraikannya,” kata hakim syarie itu.
Adira memfailkan permohonan penceraian pada 25 Oktober lalu selepas mendakwa tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinan mereka.
Adira berkata, perpisahan merupakan satu-satunya jalan bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka. Pada 4 Disember lalu, Adira hadir di mahkamah di sini bagi proses (JKP).
Adira menamakan kakaknya, Emma dalam proses itu manakala Adnan gagal menampilkan sebarang wakil ketika itu.
Sebelum ini, Adira pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah sama pada 1 April 2019.
Bagaimanapun penyanyi berasal dari Sabah itu menarik semula permohonan dibuat bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak.
Permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun. – UTUSAN