PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal mengadakan pertemuan dengan ibu bapa yang terlibat dalam kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada minggu depan.
Perkara itu disahkan Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying yang sekali gus akan merungkai kemelut isu panas tersebut setelah berlarutan lebih tiga bulan tanpa ada penyelesaian.
“Pejabat saya sudah menghubungi ibu bapa yang berkenaan dan sedang mengatur slot satu hari mereka berjumpa saya minggu depan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini dalam Majlis Penganugerahan dan Penutup Kempen Kesedaran Talasemia 2023, di sini hari ini.
Isnin lepas, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri mengesahkan sudah menyerahkan semula kertas siasatan kes buli di MCKK itu kepada pejabat pendakwaan selepas pihaknya menerima laporan perubatan penuh mangsa.
Berdasarkan hasil penemuan siasatan polis negeri itu melihat kes tersebut boleh pula didakwa di mahkamah.
Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan empat cedera diserang empat pelajar senior sekolah berasrama penuh itu sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan.
Pihak polis mendapat laporan kes pada 24 September lalu, namun awal bulan lepas pula, Persatuan Ibu Bapa dan Guru MCKK menyelar tindakan ahli keluarga mangsa terlibat yang menyifatkan langkah berkenaan menjejaskan imej sekolah elit itu.
Awal bulan lepas dalam satu program di Pulau Pinang, Hui Ying mengulangi pendirian pihak kementerian itu yang tidak berkompromi atau sengaja menyebelahi mana-mana pihak, malah menegaskan semua pihak dilayan adil sekali gus memastikan tiada lagi kes buli di mana-mana institusi pendidikan awam. – UTUSAN