TNB sahkan set janakuasa punca gangguan elektrik CIQ Bangunan

Kerosakan set janakuasa punca gangguan elektrik CIQ Bangunan Sultan Iskandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapati berlaku kerosakan berulang pada sebuah daripada genset digunakan untuk memberi bekalan sementara sekali gus mengakibatkan gangguan elektrik Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.

TNB dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya melaksanakan kerja-kerja henti tugas bernotis bagi senggaraan berjadual pepasangan di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Gerbang Perdana 33/11kV, Johor Bahru bermula pada pukul 8 malam semalam sehingga awal pagi ini.

“Ketika kerja-kerja dilaksanakan, bekalan elektrik sementara dibekalkan melalui 10 buah genset milik Bangunan Sultan Iskandar supaya tiada sebarang gangguan bekalan dalam tempoh tersebut.

“Siasatan mendapati berlaku kerosakan berulang pada sebuah daripada genset berkenaan yang digunakan untuk memberi bekalan sementara dan telah mengakibatkan gangguan bekalan di premis bangunan CIQ,” kata kenyataan itu hari ini.

Terdahulu, para pengguna laluan tersebut mengadu dalam media sosial apabila CIQ BSI mengalami gangguan bekalan elektrik selama lebih 12 jam dipercayai bermula pukul 8 malam sehingga 10 pagi.

Dakwa pengguna, insiden itu menyebabkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura terpaksa berbaris panjang dan lebih lama kerana proses urusan pasport terpaksa dilakukan secara manual. 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kemudian menyifatkan insiden itu amat memalukan kerana kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan premis berkenaan merupakan laluan masuk utama di selatan tanah air.

Dalam pada itu, TNB mengambil maklum dengan cadangan Kerajaan Negeri Johor supaya mempertimbangkan sumber alternatif bagi mengukuhkan lagi sistem bekalan elektrik ke kompleks CIQ seperti disuarakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohammad Salleh.

“TNB juga bekerjasama rapat dengan pengurusan BSI bagi memastikan keterjaminan dan kestabilan bekalan ke kompleks berkenaan dan persekitarannya,” katanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya