Kerjasama UMNO-Warisan: Kami datang sekadar penuhi undangan?- Bung Moktar

Kerjasama UMNO-Warisan: Kami datang sekadar penuhi undangan – Bung Moktar

BUNG Moktar Radin (kanan) beramah mesra dengan Mohd. Shafie Apdal semasa Perhimpunan Agung Tahunan Warisan di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Walaupun kehadiran Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin di Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan (Warisan) hari ini sekadar memenuhi undangan, ia seolah-olah mengiyakan desas-desus mengenai kerjasama kedua-dua parti berkenaan.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu bagaimanapun memberi jawapan ‘selamat’ apabila ditanya mengenai kerjasama antara UMNO-Warisan menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata, kerjasama memang perlu ada namun tidak dapat dipastikan bila kerana belum ada sebarang perbincangan rasmi mengenainya.

“Kerjasama mesti mahu ada, tapi bila? Tidak tahulah. Perbincangan rasmi belum ada. Kerjasama ini penting, dalam hidup pun perlu ada kerjasama, suami isteri perlu ada kerjasama, bukan? Tiada kerjasama tidak jadi,” katanya ketika ditemui semasa Perhimpunan Agung Tahun Warisan, hari ini.

Menurut beliau, kedatangan beliau pada perhimpunan Warisan itu sekadar memenuhi undangan dan jemputan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Katanya, kehadiran beliau bersama rombongan UMNO Sabah itu tidak menjadi satu masalah sebab Warisan juga sebahagian daripada komponen Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. 

Mengenai perpecahan dalam UMNO Sabah, Bung Moktar menafikan wujud perpecahan di dalam parti itu. 

“Ia sekadar khabar angin jadi, jangan percaya dan dengar khabar angin kerana UMNO Sabah sentiasa utuh,” katanya.

Mengulas perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), setakat ini UMNO Sabah tiada sebarang perbincangan dengan gabungan berkenaan.

Desas-desus kerjasama antara UMNO-Warisan bermula sejak awal tahun ini semasa berlaku kemelut politik yang dikenali sebagai Langkah Kinabalu. Namun, apabila Langkah Kinabalu gagal, tiada sebarang perkembangan lanjut mengenai kerjasama berkenaan sehinggalah Bung Moktar sekali lagi memberi bayangan untuk menjalin kerjasama dengan Warisan pada 18 November lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini, kedua-dua parti belum memuktamadkan mengenai kerjasama itu kerana belum ada perbincangan rasmi antara kedua-dua parti. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya